20 October 2011

Keluhuran perlembagaan bukan untuk diulang-ulang seperti burung kakak tua...

Di bumi Malaysia yang serba-"BOLEH" ini, pertikaian sejarah boleh diheret ke mahkamah. Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu akhirnya hanya boleh berbahas dengan pendakwaraya, selepas cabarannya untuk berdebat tidak disahut Timbalan Presiden UMNO Muhyiddin Yassin.

Kini, pertikaian seorang pakar perlembagaan terhadap penggunaan kuasa oleh Sultan Selangor, mungkin juga boleh diheret ke mahkamah. Abdul Aziz Bari, Profesor Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), disoal-siasat polis di bawah Akta Hasutan pada pagi ini, berikutan satu laporan yang dibuat oleh Senator Mohd Ezam Mohd Nor pada 13 Oktober 2011.

Abdul Aziz Bari (gambar kiri), 52, dipetik pandangannya oleh Malaysiakini pada 11 Oktober 2011, bahawa tindakan Sultan Selangor campurtangan dalam isu pemeriksaan gereja Methodist di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu, bukan tindakan lazim. Kenyataan beliau dibidas dalam Utusan Malaysia, malah ada yang membuat aduan polis terhadap Abdul Aziz Bari dan Malaysiakini. Ekoran daripada itu, Abdul Aziz Bari dan wartawan Malaysiakini disoal-siasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pada 17 Oktober 2011.

Meskipun isu ini dilihat agak "sensitif", sehingga tidak ramai yang berani tampil untuk mempertahankan kebebasan bersuara seorang ahli akademik, namun, dalam satu wawancara melalui email bersama Merdeka Review, Abdul Aziz Bari memaklumkan, "... dari sokongan yang saya terima secara individu, ramai orang Melayu yang bersama saya sebenarnya. Majoriti yang menyokong saya ialah orang Melayu."

Ikuti bahagian pertama wawancara Abdul Aziz Bari (AAB) bersama MerdekaReview (MR):

MR: Seandainya diimbas kembali kenyataan dan tulisan Prof sebelum ini, akan didapati bahawa ini bukan kali pertama Prof mengemukakan kritikan terhadap institusi Raja. Untuk prof, mengapa kritikan kali ini mengundang reaksi yang sebegitu besar, sehingga Prof disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dan kemudian pihak polis?

AAB: Saya tak tahu; soalan itu perlu diajukan kepada mereka. Saya jangka mungkin ia kerana adanya report terhadap saya kali ini. Cuma soalannya mengapa sekarang. Mungkin kerana pilihan raya dah dekat. Mungkin juga kerana dulu mereka tak sedar, mereka tidur.

MR: Pada hakikatnya, adalah tidak sukar untuk memahami pendirian Prof dalam isu institusi raja, seandainya mengikuti tulisan Prof yang disiarkan sebelum ini. Prof sejak awal menegaskan bahawa Sultan/Raja boleh dikritik dalam ruang batas yang dibenarkan.
Garis itu jelas apabila dalam satu kes yang melibatkan Karpal Singh, Prof menulis Karpal "yang dilaporkan menyebut soal perlunya kita tidak kembali ke zaman feudal" mungkin boleh dianggap "menyindir institusi beraja", lantas memberi kesempatan kepada musuh politik untuk menghentam Karpal, malah disabitkan dengan Akta Hasutan. Pendirian sedemikian seolah-olah tidak difahami, sehingga Prof diheret untuk disoal-siasat.

AAB: Pendirian mereka memang sukar difahami oleh logik biasa. Apalagi media berkenaan begitu kuat menghentam Raja-Raja sewaktu krisis antara mereka dengan kerajaan persekutuan pada 1983 dan 1993. Dan hari ini mereka yang menghentam Raja-Raja ketika itu pun mengatakan saya kurang ajar. Sedangkan kenyataan saya tidaklah seteruk kenyataan mereka. Saya tidak pertikai kedudukan dan peranan Raja, hanya sekadar memberi pandangan tentang cara kuasa yang ada di tangan mereka digunakan.

MR: Apakah soalan yang diajukan polis kepada Prof sepanjang soal-siasat tadi? Daripada soalan-soalan yang diajukan, apakah Prof menganggap ia lebih kepada menyiasat individu Prof, atau kenyataan Prof dalam isu ini? Dari situ, apakah Prof menganggap bahawa wujudnya motif politik di sebalik soal-siasat ini - memandangkan Prof begitu lantang dalam kritikan terhadap kerajaan yang sedia ada?


AAB: Saya tak ingat, tapi ia termasuk soal-soal peribadi seperti tarikh dan tempat lahir. Saya tak pasti sama ada ia ke atas saya sebagai individu atau kepada kenyataan saya. Logiknya kedua-dua ini boleh berkait. Contohnya orang yang lebih berusia mungkin lebih lembut dan seumpamanya. Saya tak pasti ada motif politik atau tidak, dan tidak taktikal untuk saya menyentuh soalan begini. Apa pun saya dimaklumkan bahawa laporan polis juga dibuat ke atas Prof. Datuk Dr Zainal Kling tetapi tidak ada tindakan setahu saya. Walaupun ia tidak berkaitan dengan institusi Raja ia menimbulkan kemarahan masyarakat, atau sebahagian dari mereka.

MR: Jelas, Prof telah menyentuh satu isu (institusi Raja) yang dianggap "sensitif" dalam konteks politik Malaysia. Hampir tiada pemimpin politik yang berani untuk menyokong Prof secara terbuka. Lebih-lebih lagi, ahli akdemik yang lain juga berdiam diri dalam isu ini, melainkan bekas mufti Perlis, Dr.Mohd Asri Zainul Abidin yang tampil memberi sokongan kepada Prof melalui laman sosialnya. Apakah prof terkilan dengan keadaan sedemikian?


AAB: Sebenarnya ada walaupun tak ramai. YB Sallahudin Ayub ada buat kenyataan mempertikai siasatan SKMM itu semalam. Tengah hari ini CheGu Bard dari SAMM membuat kenyataan umum menyokong saya. Saya faham kenapa orang politik tidak ramai yang ke depan. Ini kerana mereka melihat isu ini ada kesan kepada pengundi Melayu walaupun dari sokongan yang saya terima secara individu, ramai orang Melayu yang bersama saya sebenarnya. Majoriti yang menyokong saya ialah orang Melayu.

Berita terkini melaporkan bahawa Profesor Abdul Aziz Bari digantung tugasnya sebagai pensyarah Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), lantas mencungkil persoalan sejauh manakah institusi pengajian tinggi mampu mempertahankan kebebasan akademik atau kebebasan bersuara dalam menara gading?

Mampukah menara gading tempatan menampung sesuatu yang dikatakan "idealisme"? Atau sekadar bayangan realiti di luar kampus - apabila mereka yang sepatutnya mempertahankan "keluhuran perlembagaan" menodai semangat ini; dan apabila mereka yang sepatutnya mempertahankan autonomi akademik, mencabul kesucian intelektual.

Abdul Aziz Bari, 52, menjadi tumpuan kali ini. Isunya terlalu besar, membelenggu fikrah masyarakat Malaysia selama ini. Namun sehingga hari ini, beliau tetap tidak berganjak, mempertahankan apa yang dipercayai dirinya, sebagai seorang pakar perlembagaan.

MR: Dari sejarahnya, sistem perlembagaan kita direka dengan institusi Raja dikekalkan sebagai lambang untuk mempertahankan agama Islam dan kaum Melayu. Mungkin ini antara puncanya mengapa institusi Raja menjadi isu "sensitif", kerana mengkritik "Raja" disamakan dengan "mempertikaikan Melayu dan Islam".

Atau dalam konteks hari ini, apakah Prof menganggap, "sensitif"nya isu institusi Raja sebenarnya berpunca daripada permainan politik kepartian? Parti politik telah mengheret institusi Raja ke gelanggang politik kepartian, sebagai senjata dalam pergelutan politik. Misalnya, dalam rampasan kuasa Perak pada tahun 2009, penyandang asal jawatan Menteri Besar, Mohd. Nizar Jamaluddin diserang sebagai "penderhaka" oleh UMNO, yang mana motifnya diketahui umum.


AAB: Apa yang dianggap sensitif itu pada saya sesuatu yang subjektif. Lain orang lain tafsirannya. Dalam konteks undang-undang hasutan seorang hakim, Tan Sri Azmi Kamaruddin, pernah menyebut dalam kes Mark Koding (1982) betapa undang-undang hasutan Malaysia payah difahami. Menyeret istana ke kancah politik ini banyak sebabnya. Tetapi jika istana tegas dan tahu peranannya itu saya fikir tidak akan berlaku. Tetapi ada kalanya tuduhan itu timbul kerana pihak berkenaan hendak menyembunyikan sesuatu dan pihak ini mungkin berkata istana diseret ke dalam politik kerana istana memainkan peranannya yang sebenar.

Dalam kes Nizar itu saya dah sebut sikap dan pandangan saya yakni istana perlu melaksanakan kuasanya sebagaimana yang dihasratkan oleh perlembagaan; yakni selaras dengan demokrasi. Ertinya kuasa budibicara itu perlu dilihat dalam konteks yang betul. Bukan secara literal.

MR: Dalam tulisan prof, institusi Raja seharusnya melangkaui politik kepartian, supaya diterima sebagai lambang perpaduan negara. Konsep ini diterima dan diamalkan di negara seperti Britain. Namun, sebagaimana yang diamati, apabila Pakatan Rakyat diasak dengan serangan UMNO-BN dalam isu institusi Raja, wujud kecenderungan daripada pihak PR untuk menarik sokongan institusi Raja. Misalnya, PKR pernah seketika dahulu mencadangkan agar kekebalan Raja dipulihkan.

Dalam senario politik sedemikian, apakah strategi ini adalah satu kemestian, ataupun sebenarnya PR boleh tampil dengan alternatif yang lain?


AAB: Saya tidak pasti apakah yang sebenarnya mereka maksudkan, khususnya mengembalikan kekebalan atau imuniti itu. Ini sebenarnya tidak timbul kerana perlembagaan hanya boleh diubah melalui pindaan formal. Saya tidak pasti apakah PKR mampu berbuat demikian kerana pindaan perlembagaan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga. Sekarang ini usahkan hendak meminda perlembagaan, hendak menubuhkan kerajaan yang hanya memerlukan majoriti biasa pun masih belum mampu. Saya tidak pasti apakah kekebalan atau imuniti yang menjadi kekuatan sistem beraja sebagaimana di Britain. Ini kerana sistem beraja di sana sentiasa dikritik. Bahkan kalau mengikut standard kita dipermain-mainkan atau diejek.

MR: Dalam konteks zaman sekarang, apakah Prof bersetuju, seandainya institusi Raja disesuaikan dengan peranannya sebagai lambang untuk mempertahankan SEMUA rakyat Malaysia - tanpa membezakan kaum dan agama. Apakah ia mampu meredakan masalah perkauman dan agama yang meruncing?

AAB: Setahu saya institusi ini bukan lambang rakyat; institusi beraja ialah lambang autoriti negara dan lambang perpaduan rakyat. Ia juga adalah jatidiri dan identiti negara dan sejarahnya. Sama ada sistem itu mampu meredakan masalah kaum atau tidak itu bergantung kepada komitmen institusi itu sendiri. Pada saya pengekalan sistem beraja itu sendiri sepatutnya sudah mampu mengelakkan timbulnya gerakan kanan dan ekstrem. Dengan kata lain, sekiranya sistem beraja itu dihormati maka tidak akan muncul gerakan berhaluan kanan yang pada asasnya muncul kerana tidak wujudnya institusi seperti sistem beraja.

MR: Baru-baru ini beberapa isu yang agak sensitif untuk masyarakat Melayu dicungkil. Misalnya isu Mat Indera, di mana isu di sebaliknya adalah perjuangan komunis.

Prof pernah dalam satu ceramah membidas bahawa kerajaan sebenarnya tidak mematuhi Perjanjian Haadyai 1989, apabila Chin Peng tidak dibenarkan balik ke Malaysia.


Isu di sini sebenarnya melibatkan integriti, iaitu sama ada sesebuah negara patuh kepada janjinya. Namun, suara "dominan" dalam masyarakat Melayu tidak melihat dari perspektif ini, sebaliknya lebih didorong sentimen ketika menangani isu ini, misalnya mencungkil semula emosi bekas tentera yang tercedera ketika memerangi komunis. Persoalannya, apakah di sini "emosi" mengatasi segala-galanya?


AAB: Saya tidak melihatnya begitu. Bukan soal emosi mengatasi segala-galanya tetapi ada media tertentu yang dibiarkan bermaharajalela dan berbuat sesuka hati. Mereka hanya memaparkan perspektif yang disukai oleh pemerintah yang belum tentu sempurna dan betul. Apa yang saya katakan itu adalah fakta, ia bukan pendapat saya. Ia hanyalah paparan yang perlu diketengahkan kerana masyarakat sudah lupa atau tidak tahu.

MR: Sebagai pakar perundangan, sejauh manakah prof menilai semangat "rule of law" ini dipraktikkan dalam masyarakat kita? Padahal dalam rukun negara kita melafazkan "keluhuran perlembagaan". Seandainya semangat itu masih tipis dalam masyarakat kita, apakah puncanya? Bagaimana kita boleh berusaha ke arah itu?

AAB: Masalah yang kita hadapi ialah kita melakukan itu sebagai ritual yang kosong, yang tidak ada makna apa-apa. Keluhuran perlembagaan perlu dihidupkan dalam masyarakat. Tetapi realiti kita adalah sebaliknya. Sebuah negara yang bukan sahaja penuh dengan undang-undang drakonia dan pelaksanaan yang memilih-milih dan tidak adil. Keluhuran perlembagaan bukan untuk diulang-ulang seperti burung kakak tua. Ia perlu dilaksanakan supaya rakyat komited dan sedia mempertahankannya.

MR: Masyarakat Melayu mungkin mengalami "gegaran fikrah" lantaran beberapa isu yang dibangkitkan baru-baru ini, Mat Indera, peranan Sultan dan sebagainya. Politikus mungkin lebih berhati-hati, kerana seandainya mengambil langkah terlalu ke depan, mereka bimbang kehilangan undi seandainya gagal menjelaskan kepada pengundinya.

Di sini, mungkin cendekiawan, pemikir dan ahli akademik boleh memainkan peranannya. Sejauh manakah golongan intelektual ini memainkan peranan mereka yang seharusnya? Apakah harapan Prof terhadap mereka?


AAB: Kita banyak universiti dan ramai profesor. Tetapi ini tidak semestinya bermakna bahawa kita ramai intelektual. Lihat sahajalah apa yang berlaku dalam isu Mat Indera itu. Dan apa yang saya sendiri tanggung sekarang. Saya menghargai sokongan rakan-rakan dan saya harap mereka dapat memainkan peranan dalam bidang masing-masing. Termasuk berkongsi dengan masyarakat apa yang mereka kaji dan ajar.

MR: Prof mungkin tidak perlu berdepan dengan risiko seandainya memilih untuk berdiam diri dalam isu-isu yang kontroversial. Tetapi mengapa Prof sebagai kaki tangan dalam institusi pengajian tinggi awam mengambil langkah untuk tampil ke depan, malah tidak berundur apabila diserang?

AAB: Saya tidak mahu angkat bakul. Memadai jika saya katakan saya percaya dan komited dengan cita-cita kebenaran dan keadilan. Ini semua perlu diperjuangkan. Secara kebetulan saya ahli akademik. Jadi saya pilih jalan ini. Kalau saya petani atau ahli politik saya akan gunakan cara dan pendekatan yang lain yang sesuai dengan pekerjaan saya.

Wawancara Merdeka Review(MR), bersama Abdul Aziz Bari (AAB) melalui email oleh editor Lim Hong Siang.

source:merdeka review

No comments: