31 July 2010

TG Nik Aziz - Kenapa disekat cikgu berpolitik......

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap tindakan tidak membenarkan guru bergiat dalam politik sebelum ini adalah tindakan yang salah, bahkan sebagai pengamal ilmu salah. Ini, katanya kerana golongan guru adalah mereka yang mempunyai ilmu dan mengerti dalam banyak perkara.

“Jadi, macam mana orang yang mengerti tidak dibenarkan berpolitik? Itu satu kerja yang salah Umno.

“Mana boleh, seorang cikgu yang berilmu kita (kerajaan) tidak benarkan mereka berpolitik. Ini kerja salah, kerja orang yang mengamalkan ilmu salah,” katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Medan Ilmu di sini pagi tadi.

Beliau mengulas langkah terbaru pihak Kerajaan Persekutuan yang bercadang membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri dalam politik bagi memastikan golongan tersebut diberi kebebasan sepenuhnya tanpa sekatan tertentu.

Kerajaan Persekutuan bercadang meminda Peraturan 21(2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi membolehkan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 untuk bertanding, dilantik atau memegang jawatan dalam mana-mana parti politik berkuat kuasa 1 Ogos ini sebagaimana diumumkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan baru-baru ini.

“Kenapa disekat cikgu, disekat tok guru daripada berpolitik? (Adakah kerajaan) takut diketahui keburukan mereka?

“Doh mu buat buruk (maka) diketahui oranglah,” katanya sambil mengulangi penegasannya bahawa golongan guru sepatutnya dibenarkan bergiat dalam politik sejak awal-awal lagi.

Baginya, akta mengenai sekatan itu tidak ada di atas dunia ini.

“Ini kerana ‘politik’ adalah menyentuh segala perkara termasuk bidang akidah, ibadat, ekonomi dan rumah tangga.

“Adalah menjadi satu perkara pelik apabila Umno buat terhadap sama ada pegawai kanan guru atau tidak selama ini dengan tidak membenarkan mereka berpolitik,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menyifatkan bergiat dalam bidang politik diberi ganjaran pahala oleh Allah swt selain mendapat dosa sekiranya dilakukan tidak selaras dengan ajaran Islam.

“Nabi Muhammad s.a.w. sendiri adalah ‘orang politik’ yang paling terkemuka, Baginda menjaga orang (umatnya) dari dunia sampai ke akhirat, bukan menjaga mereka setakat di kubur saja,” katanya.

Mengulas sama ada kebebasan berpolitik di kalangan guru boleh menjejaskan prestasi mereka di sekolah, Mursyidul Am PAS itu berkata itu terserahlah kerapa sikap guru berkenaan.

“Saya adalah orang politik, sejak dahulu saya mengajar agama. Di samping bertugas mengajar, tidak ada apa pun gangguan.

“Saya mengajar sokmo-sokmo, sejak daripada hari pertama saya balik (dari belajar di luar negara) ke Malaysia pada 1962, saya terus mengajar termasuk mengajar di sekolah, dan sehinggalah ke pagi ini, saya terus mengajar,” katanya.- Muhammad Yusri Amin

source:harakahdaily

cheers.

1 comment:

Anonymous said...

每日都有新日光,每日都有新希望。.......................................................