02 July 2008

Anwar dakwa 3 orang rancang kes liwat, & PM jamin keselamatan.......

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiga orang yang dikenali Mohd Saiful Bukhari Azlan terlibat dalam rancangan dakwaan meliwat membabitkan beliau.

"Saya pasti tuduhan ke atas saya mesti dirancang oleh ketiga-tiga karakter ini, bukan orang lain," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor petang tadi.

Pada sidang akhbar itu Anwar juga mendakwa Saiful mempunyai hubungan akrab dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak; isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan pegawai khas Najib, Khairil Anas Yusof.

Anwar menjelaskan, Saiful bukan bekerja secara tetap dengannya tetapi mula berkhidmat secara sukarela dengan PKR dalam kempen pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Beliau juga berkata peguamnya telah menulis tiga pucuk surat kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan untuk mendapatkan tarikh beliau boleh memberi keterangan untuk membantu siasatan kes terbabit.

"Peguam saya ada berhubung dengan mereka, tapi sampai sekarang mereka belum jawab," katanya.

Anwar juga berkata, sebab utama beliau bersembunyi di kediaman Duta Turki, Barlas Ozener, adalah bagi menjaga keselamatannya.

Kedutaan Turki dalam satu kenyataan semalam menjelaskan bahawa penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dibenarkan berada di kediaman dutanya atas dasar perikemanusiaan semata-mata.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan keselamatan Anwar sentiasa terjamin dan menolak sebarang kemungkinan penasihat Parti Keadilan Rakyat itu akan dianiaya.

Jaminan itu diberikan oleh Abdullah ketika pertemuan kira-kira 20 minit dengan isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wam Ismail yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) di pejabatnya di bangunan Parlimen berikutan dakwaan Saiful yang mendakwa diliwat majikannya itu.

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu Abdullah berkata, kerajaan tidak sekali-kali akan menganiayai atau menzalimi sesiapa atau membuat tuduhan tidak berasas terhadap mana-mana pihak.

Katanya, jaminan kerajaan itu diberikannya kepada Azizah setelah beliau meminta agar kerajaan memastikan nyawa suaminya itu tidak terancam tidak dizalimi.

Abdullah berkata, kerajaan juga akan memastikan bahawa keselamatan orang yang membuat tuduhan terhadap Anwar itu serta yang dituduh sentiasa terjamin.

Mengenai kesangsian yang dilahirkan Azizah terhadap kredibiliti siasatan terhadap suaminya nanti memandangkan dua personaliti yang terlibat dalam siasatan terhadap Anwar 10 tahun lalu iaitu Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail akan terlibat dalam siasatan kali ini Abdullah berkata: "Musa dan Gani adalah orang yang profesional dan berkredibiliti dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing."

Katanya, walaupun Anwar telah membuat laporan polis terhadap Musa dan Gani, pada peringkat ini masih terlalu awal bagi kerajaan untuk membuat ketetapan mengenai peranan kedua-duanya dalam siasatan kes itu.

Ditanya sama ada kebimbangan Azizah terhadap keselamatan suaminya itu berasas atau sebaliknya, Abdullah berkata, itu hanya perasaan mereka sedangkan pada hakikatnya undang-undang mempunyai peruntukan untuk memastikan keselamatan semua pihak terlibat.

Ditanya sama ada jaminan kerajaan tentang keselamatan Anwar dan mereka yang terlibat dalam kes itu boleh dilihat sebagai campur tangan kerajaan dalam siasatan polis Abdullah menidakkannya.

Jelas beliau, semua yang terlibat adalah mereka yang berpengalaman tinggi dalam tugas mereka dan jaminan yang beliau berikan kepada Azizah adalah sesuatu yang memang diperuntukkan undang-undang.- GMC

Namun demikian adakah laporan terhadap AG dan KPN ini memberi apa-apa kesan? Bacalah pandangan blogger ini. And the latest read here. Tapi ini hangat-hangat tahi ayam saja.... but in reality who is gonna bell the cat eh...........

cheers.

No comments: