Pendengaran kes saman fitnah yang difailkan oleh bekas menteri, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil diteruskan, dengan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menonton klip video yang didakwa mengandungi kenyataan fitnah yang didakwa dibuat dalam sidang media di lobi Parlimen pada 30 November 2011.

Empat klip yang didakwa kenyataan fitnah yang diucapkan oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, ditayangkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera.

Bagaimanapun, klip video dan transkripnya tidak ditandakan sebagai ekshibit mahkamah kerana pembuat rakaman video itu belum lagi dipanggil memberi keterangan.

NONERafizi dan Zuraida berdepan dengan saman fitnah RM100 juta yang difailkan oleh Shahrizat, yang merupakan ketua Wanita Umno..

Kedua-dua mereka telah memfailkan tuntutan balas.

Shahrizat selepas ini akan disoalbalas oleh peguam Rafizi dan Zuraida di mahkamah yang padat dengan penyokong Wanita Umno dan PKR. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Shahrizat memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak mengetahui anak keduanya terlibat dalam projek Pusat Fidlot Nasional sehinggalah diberitahu pada 2007.

Shahrizat berkata sebelum itu beliau tidak mengetahui bahawa Wan Shahinur Izran Mohd Salleh, 28, telah menjadi pengarah syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) sejak Disember 2006.

'Tak ambil tahu urusan masing-masing'
  

Beliau mula mengetahui perkara itu apabila suami beliau, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Ismail memberitahu mahu anak-anak mereka pulang ke tanah air dari luar negara untuk membantu menguruskan projek tersebut.
   
"Saya tidak tahu mengenai bidaan projek tersebut. Saya hanya tahu pada sekitar 2007 selepas suami saya menyatakan hasrat mahu anak-anak pulang ke tanah air untuk membantunya dalam projek ini.
   
"Ia berlaku selepas beliau (Mohd Salleh) telahpun memperoleh projek itu," katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Ranjit Singh dalam prosiding kes saman fitnah terhadap Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin dan pengarah strategi parti itu, Mohd Rafizi Ramli.

NONE
Ranjit mewakili kedua-dua defendan.
   
Shahrizat turut menafikan mengetahui projek NFC lebih awal dan perbincangan mengenai NFC bukanlah atas kapasiti sebagai seorang menteri sebaliknya perbualan antara suami isteri.
   
Ditanya bukankah Wan Shahinur Izran masih terlalu muda untuk dilantik sebagai pengarah syarikat kerana baru berusia 22 tahun ketika itu, Shahrizat berkata ia tidak salah kerana anaknya telah tamat pengajian ketika berusia 19 tahun di Amerika Syarikat serta antara pelajar terbaik.

Katanya Wan Shahinur Izran tinggal bersamanya sejak 2004 dan dua lagi iaitu Wan Shahinur Izmir, 32, dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, 26, berada di luar negara dan kembali ke Malaysia pada 2007 untuk menyertai NFC.
   
Tambahnya walaupun beliau, suami dan Wan Shahinur Izran tinggal sebumbung tetapi mereka tidak ambil tahu urusan kerja masing-masing.

Shahrizat: Mereka buatkan orang ramai salahkan saya

Shahrizat berkata beliau mula meneliti pembabitan ahli keluarganya dalam projek itu pada tahun lepas selepas tersiar di media dan meminta suaminya memberi penjelasan.
   
Ketika ditanya oleh Ranjit bahagian manakah di dalam kenyataan kedua-dua defendan sehingga memudaratkan dirinya, Shahrizat berkata:

"Kata-kata mereka membuatkan orang ramai menyalahkan saya."
   
Di awal prosiding, mahkamah ditunjukkan tayangan video mengenai sidang media melibatkan kedua-dua defendan di bangunan Parlimen.

Pada 19 Januari lalu, Shahrizat memfailkan saman terhadap Zuraida dan Mohd Rafizi berhubung kenyataan yang didakwa memfitnah beliau dalam isu NFC.

Shahrizat menuntut ganti rugi am RM50 juta dan RM50 juta lagi sebagai gantirugi teladan dan teruk daripada defendan.
   
Beliau juga memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada terus mengeluarkan kenyataan sama ada secara lisan atau penerbitan terhadap beliau berhubung NFC atau syarikat bersekutu.
   
Prosiding di depan Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera bersambung 18 September.- malaysiakini