17 March 2012

‘Nama saya hilang dalam daftar pemilih’...


Seorang pengundi membuat laporan polis berhubung ‘kehilangan’ namanya dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia walaupun beliau merupakan pengundi berdaftar.

Pengundi itu, Ho Heng Thong (gambar) membuat laporan di balai polis Kota Damansara 10 Mac lalu ekoran isu itu.

“Setelah beberapa kali membuat semakan melalui telefon dan internet, saya dapati nama saya sudah tiada, padahal sebelum ini saya pernah mengundi beberapa penggal.

“Saya merasa pelik kerana ada sesuatu yang tidak kena dengan SPR dan tujuan saya membuat laporan ini agar SPR membuat tindakan lanjut,” katanya dalam laporan itu.

Sementara itu, dalam kunjungannya ke pejabat KeadilanDaily hari ini, beliau meminta agar KeadilanDaily mendedahkan penyelewengan itu bagi memastikan haknya selaku pengundi yang sah dipertahankan.

“Selepas didedahkan kelak, saya mahu tahu adakah individu lain turut teraniaya seperti dalam kes ini dan mengapa nama saya tiada dalam daftar SPR sedangkan pernah mengundi hampir setiap kali pilihan raya umum termasuk 2008,” katanya yang ditemani bekas Ketua Penerangan Pemuda Gerakan Selangor yang kini anggota KEADILAN, Delren Douglas.

Ho Heng mendakwa, pada PRU 2008, beliau merupakan pengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lanjan dan Parlimen Subang dengan kedua-dua kerusi itu dimenangi KEADILAN melalui Elizabeth Wong dan R. Sivarasa.

Kali terakhir beliau memeriksa nama dalam daftar SPR pada 9 Mac lalu sebelum membuat laporan polis keesokan harinya.

“Saya terdetik mahu periksa nama selepas membaca artikel dalam sebuah akhbar mengenai sistem SPR yang menjadi pertikaian ramai sebelum mendapati nama saya tiada.

“Peliknya, isteri saya yang juga merupakan pengundi di DUN dan Parlimen sama masih ada nama dalam rekod SPR walaupun kami bersama-sama mengundi di kedua-dua kawasan itu pada PRU lalu,” katanya.

Oleh itu, beliau berharap SRP segera menyelesaikan masalah dihadapinya itu.

“Saya belum memeriksa dengan SPR kerana bimbang jika saya merujuk pada SPR dan tiba-tiba nama saya mereka masukan, maka saya boleh didakwa kerana membuat laporan palsu dan sebab itu saya mahu akhbar ini dedahkan dahulu,” katanya.

Sementara itu, semakan KeadilanDaily dilaman SPR juga mendapati nombor kad pengenalan yang dimasukan dalam web itu menunjukan agensi kerajaan itu tiada rekod mengenai beliau.- keadilandaily.com

Pindah Kawasan Undi: Siapa Cakap TS Khalid Tidak Boleh Jadi MB?



Pindah kawasan undi Khalid Ibrahim, menyalahi undang-undang

Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh berkata tindakan memindahkan kawasan mengundi tanpa permohonan pengundi adalah menyalahi undang-undang. Beliau merujuk kepada pendedahan portal Malaysiakini berita tentang pemindahan kawasan mengundi bagi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari Petaling Jaya Selatan ke Lembah Pantai tanpa pengetahuan Khalid.

Menurutnya, keputusan mesyuarat PSC di Pulau Pinang baru-baru ini sendiri menetapkan pemindahan kawasan mengundi tanpa permohonan dari pengundi sendiri adalah menyalahi undang-undang.

“Pengarah SPR, Wan Ahmad perlu beri jawapan munasabah berkenaan isu ini, kalau tidak, lebih baik beliau letak jawatan,” kata Fuziah dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN pagi ini.

“Kita menjangkakan beliau akan memberi alasan sempadan daerah mengundi diselaraskan dengan sempadan pentadbiran, seperti diberikan kepada Jawatankuasa Pembaikan Pilihanraya (PSC) sebelum ini.

“Tidak pernah wujud peraturan sempadan daerah mengundi dan sempadan pentadbiran perlu sama. Ini tidak dapat menjustifikasikan perbuatan SPR,” kata Ahli Parlimen Kuantan itu.

Menurut Akta Pilihanraya 1958, Urusan Belah Bahagi Daerah Mengundi membenarkan SPR untuk memindah kawasan mengundi dengan syarat ia tidak melampaui sempadan pilihanraya DUN dan Parlimen.

“Jelas SPR membiarkan mereka diperkuda Umno BN dalam membantu mereka dalam pilihanraya akan datang,” kata Fuziah lagi.

Sebelum ini juga, KEADILAN mendedahkan lebih 100,000 nama dikeluarkan dari daftar pengundi penuh, manakala 6000 nama dimasukkan, tanpa sebarang makluman kepada pengundi.

Sidang media ini turut dihadiri Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Lee Hoy Sian.

Lee berkata, beliau dimaklumkan penduduk kawasan beliau bahawa borang Bantuan Rakyat 1Malaysia yang diterima, menunjukkan kawasan mengundi mereka dipindah ke Parlimen Kelana Jaya dan Dun Seri Setia.

“Menteri Kewangan pasti mendapat maklumat itu dari SPR. Namun, apabila kita periksa sendiri di laman web SPR, kawasan mengundi masih lagi kekal di Petaling Jaya Selatan.

“Mereka bimbang sekiranya dengan menerima wang RM500 BR1M, kawasan mengundi mereka akan dipindah,”  jelas Lee sambil mengagihkan salinan surat itu kepada pihak media - keadilandaily.com/

cheers.

No comments: