26 July 2011

Biometrik untuk pastikan BN menang PRU 13...

Pemuda PAS Malaysia menolak penggunaan sistem biometrik kerana masih boleh dimanipulasi untuk mempastikan kemenangan Umno BN dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

“Jabatan Pilihan raya Dewan Pemuda PAS Malaysia berpendirian tegas menolak penggunaan sistem biometrik ini yang pastinya masih boleh dimanipulasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mempastikan kemenangan Umno BN,” kata Pengarah Jabatan Pilihan raya Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Sany Hamzan.

Ia juga, katanya akan membabitkan kos penyelenggaraan yang tinggi yang membabitkan duit rakyat berbanding penggunaan dakwat kekal yang lebih murah, mudah dan selamat.

Justeru, Pemuda PAS menolak kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang menyatakan bahawa pihak SPR akan memperkenalkan sistem biometrik untuk memantapkan lagi tahap keselamatan dalam proses pilihan raya di negara ini.

Abdul Aziz menyebut di dalam satu sidang media di Kuching bahawa perlaksanaan sistem itu diharap dapat mengatasi isu pengundi hantu yang sering dibangkitkan pihak pembangkang setiap kali menjelang musim pilihan raya umum atau kecil.

Keputusan itu diambil apabila pihak kerajaan bersetuju untuk memberikan sejumlah peruntukan kepada SPR untuk menggunakan sistem biometrik.

Jabatan Pilihan raya Dewan Pemuda PAS Malaysia juga bersetuju dengan pandangan Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor yang menyebut bahawa sistem biometrik ini tidak akan dapat menyelesaikan masalah isu pertindanan pemilih di dalam daftar pemilih, pemilih yang dipindah keluar dan masuk tanpa pengetahuan mereka, isu pengundi yang melebihi usia 100 tahun, isu lebih dari seorang pengundi di alamat yang sama, isu pengundian pos, isu tentera dan polis yang telah bersara tetap mengundi sebagai pengundi pos dan lain-lain isu yang telah menyebabkan sistem pilihan raya di Malaysia ini nampak tempang.

Mohd Sany menambah, seperti mana pendedahan Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor baru-baru ini dalam pertemuan dengan pihak SPR di Putrajaya, mereka telah menunjukkan sebahagian pembuktian pertindanan nama-nama pemilih di dalam daftar pemilih induk mengikut corak pengenalan diri (tarikh lahir/no kad pengenalan lama) dan corak nama hasil daripada gerak kerja mencari dan mengenal pasti pemilih-pemilih yang diragui yang telah dilaksanakan secara berterusan di seluruh kawasan.

Sehubungan itu, kata beliau pihaknya berharap semoga pihak SPR tidak meneruskan agenda mereka untuk menggunakan sistem biometrik ini yang belum pernah teruji keberkesanannya untuk memastikan sistem pilihan raya dapat dilaksanakan secara adil dan telus.

Beliau menambah, SPR tidak perlu berasa malu untuk menggunakan kaedah dakwat kekal seperti yang digunakan di Indonesia atau India tetapi hasilnya cukup memberangsangkan, tiada penipuan, tiada rusuhan dan sebagainya berbanding sistem biometrik yang tidak terjamin lagi ketelusannya.

Katanya lagi, Bersih 2.0 telah menunjukkan bahawa rakyat Malaysia kini telah bangkit untuk menolak sebarang penyelewengan dan penipuan, mereka juga memerhatikan dengan penuh minat bagaimana pihak SPR ingin mengendalikan pilihan raya umum ke 13 secara telus dan adil.

“Adakah SPR akan menjadi pihak yang mempunyai integriti dalam melaksanakan tanggungjawabnya secara beramanah ataupun berterusan menjadi salah satu daripada parti komponen Barisan Nasional yang akan mengusahakan pelbagai kaedah dan cara yang akan mempastikan kemenangan Umno BN di dalam pilihan raya yang akan datang?” soalnya.

source:Harakahdaily

Kelemahan sistem Biometrik yang SPR cadang nak guna

cheers.

No comments: