23 January 2008

Tan Sri Murad Mohd.Noor,bekas KPPM meninggal dunia.....

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Murad Mohamed Noor yang meninggal dunia di sini malam tadi akan dibawa ke kampungnya di Penaga, Seberang Perai Utara awal pagi ini untuk dikebumikan.

Murad, 78, menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Ampang pada pukul 9.15 malam tadi setelah dimasukkan ke wad sejak dua minggu lepas akibat jangkitan paru-paru.

Jenazah Pengerusi Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak itu disembahyangkan di Masjid Damansara pada pukul 9 pagi ini, dan terus dibawa dengan kereta jenazah Yayasan Al Bukhari ke Penaga, kira-kira 400km dari sini dengan diiringi kaum keluarga dan sahabat handai.

Adiknya, Tan Sri Marzuki Mohamed Noor memberitahu Bernama jenazah abangnya dijangka tiba di Penaga pada pukul 2 petang dan akan dibawa ke rumah pusaka keluarga mereka di nombor 1015, di pekan Penaga. Jenazah Murad akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Penaga pada kira-kira pukul 4 petang ini, katanya. - Bernama

Tan Sri Murad menjadi KPPM dari 1976 hingga 1985. Beliau telah mengetuai satu jawatankuasa untuk mengkaji masalah keciciran di sekolah dan laporan yang terkenal dengan Laporan Murad itu telah diterbitkan pada 1973. Tan Sri Murad juga adalah Ketua Lembaga Pengarah,Universiti Pendidikan Sultan Idris(UPSI).

Inna LiLahi Wa'in na ilahi ra'jiun. Semoga Allah swt mencucuri rahmatnya ke atas roh beliau...

al-fatihah.