14 April 2011

PRN Sarawak: 1001 macam soalan untuk kitak jawab....

Dilema Taib

Seluruh Malaysia ternanti-nanti siapakah bakal pengganti Taib Mahmud walaupun beliau berjanji untuk berundur beberapa tahun lagi. Mantan PM Mahathir Mohamad dan Najib mungkin lebih faham mengapa Taib boleh berkata sedemikian. Mula-mula Taib berkata "beberapa tahun lagi". Setelah mendapati sokongan terhadap Barisan Nasional semakin merosot, beliau berkata "dua tahun lagi". Dalam masa beberapa hari sahaja pendirian Taib berubah walaupun pada mulanya tidak mahu terperangkap dengan tuntutan pembangkang.




Sudah tentu isu ini berpunca dari rasa tidak puas hati rakyat terhadap kekuasaan Taib di Sarawak. Walau bagaimanapun, mungkin, sekurang-kurangnya kesetujuan Taib untuk berundur akan mengurangkan sedikit perasaan tidak puas hati terhadap pentadbiran beliau.

Rasanya bukan setakat rakyat Sarawak sahaja yang mahu Taib berundur, malah rakyat di Semenanjung juga; akan pemerintahan terlalu lama satu hal tetapi yang jadi masalah apabila beliau didakwa terpalit dengan skandal-skandal besar pembolotan harta negeri. Benarkah? Mangsanya adalah rakyat Sarawak sendiri. Mungkin masyarakat Dayak lebih terasa akan penderitan ini. Tanyalah sama bakal Baru Bian. Justeru, sejauh mana pula rasa tidak puas hati ini akan diterjemah melalui kertas undi?

Soalan:

1. Apakah kelebihan Taib dan adakah beliau masih disayangi rakyat Sarawak?
2. Kenapa Taib tidak mahu meletak jawatan awal (selepas pilihanraya atau tahun ini)?
3. Wajarkah Taib memegang jawatan Ketua Menteri untuk sepenggal lagi?
4. Apakah ada keperluan mengekalkan Taib sebagai KM?
5. Kenapa Najib sebagai PM tidak membuat keputusan awal berkenaan jawatan Taib?
6. Perlukah Taib membersihkan namanya dengan pengisytiharan harta?

Sentimen kenegerian dan doktrin ketuanan

Sedang desakan Taib untuk berundur terus kedengaran. Rakyat Sarawak dimainkan dengan sentimen anak negeri. Kononnya kalau Pakatan Rakyat menang, seolah-olah orang dari Semenanjung "menjajah" Bumi Kenyalang ini. Rasanya rakyat lebih matang, BN itu sendiri berasal dari Semenanjung. Cuma yang berbeza adalah kolasi parti-parti yang bersekutu. Persoalan ini tidak timbul. Malah barisan calon-calon dari PR juga hampir semuanya adalah anak jati Sarawak.



Apabila isu anak negeri ini tidak mendapat tempat (lebih-lebih lagi di kawasan majoriti Cina), lalu BN menimbulkan isu siapa Baru Bian (gambar atas) untuk menggantikan Taib. Inilah yang dinamakan "doktrin ketuanan". BN menyasarkan masyarakat Melayu dan Melanau dalam hal ini. Mereka ditakut-takutkan dengan sentimen suku, bangsa dan agama. Mereka mahu golongan sasar ini terus mempertahankan "ketuanan Melayu-Melanau" dengan mengundi BN. Agar hak dan kedaulatan sebagai Melayu-Melanau terus terjaga.

Sepatutnya Taib harus berterima kasih kepada masyarakat Dayak. Taib mampu mempertahankan kuasanya sehingga saat ini dengan undi mereka termasuk dari komuniti yang lain. Tanpa kesudian rakyat Sarawak menerima Taib sebagai KM, beliau mungkin cuma sebagai YB biasa sahaja. Rakyat Malaysia, apatah lagi rakyat Sarawak dilupakan dengan fakta bahawa orang Melayu-Melanau cuma mewakili kurang 30% populasi Sarawak.


Soalan:

1. Apakah suku lain selain Melanau tidak layak mengepalai pentadbiran kerajaan Sarawak?
2. Apakah Sarawak akan lebih mundur sekiranya berlaku perubahan pentadbiran kepada PR?
3. Apakah hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera akan berubah sekiranya PR menerajui pentadbiran?
4. Apakah PR benar-benar bersedia menerajui Sarawak?
5. Adakah BN semakin dibenci disebabkan sentimen "Taib"?
6. Apakah Melayu-Melanau Sarawak terbelenggu dengan doktrin "pecah dan perintah"?

"Penjelmaan" Projek dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954

"Pilihanraya", tentu sekali. Akan disertakan dengan pelbagai janji. Politik pembangunan ini berlaku di mana-mana sahaja seluruh Malaysia. BN kata "Beruntung orang Sarawak dapat banyak pembangunan". Tetapi saya masih kurang pasti siapa yang lebih untung; rakyat atau kroni? Setiap kali pilihanraya pun-tidak kira samada Pilihanraya Kecil mahupun pilihanraya Umum, rakyat sentiasa disajikan dengan bantuan-bantuan khas berupa wang ringgit mahupun perkhidmatan dan yang pasti; projek-projek dan projek sehingga "projek-projek" ini dilihat perkara lumrah dalam mana-mana pilihanraya.

Baiklah, di bawah ini saya senaraikan antara projek-projek yang diluluskan untuk
Sarawak dalam tempoh terdekat ini dan semasa tempoh berkempen.

1. RM32 juta untuk projek loji rawatan air bersih di Kanowit
2. RM45.48 juta bagi projek pembangunan di Belaga
3. Jambatan RM25 juta menyeberangi Sungai Pandaruan menghubungkan Brunei
4.RM28 juta projek air bersih di Miri
5. RM51.6 juta projek Rumah Mesra Rakyat negeri Sarawak

Di atas ini cuma disenaraikan lima projek yang diumumkan dan masih banyak lagi projek-projek yang telah didedahkan melalui akhbar-akhbar utama dan media elektronik lainnya.



Kita tidak pasti apakah projek-projek ini akan memberi kesan kepada pengundi untuk terus mengundi BN? Pada masa yang sama secara tidak langsung mendedahkan walaupun Sarawak ditadbir oleh BN sejak puluhan tahun. Masalah air, elektrik dan infrastruktur terus menghantui penduduk. Apakah ini yang kita namakan sebagai kerajaan yang baik? Walhal hasil negeri cukup memberangsangkan.

Satu lagi perkara yang cukup jelas. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seolah-olah menutup mata terus dengan segala janji dan projek pembangunan yang ditawarkan padahal ia cukup untuk meletakkan situasi ini kepada unsur rasuah sepertimana terkandung dalam Undang-Undang Malaysia, Akta 5, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Bahagian III, Perbuatan-Perbuatan Rasuah.

Soalan:
1. Dengan segala projek ini, adakah Sarawak masih ketinggalan dari segi pembangunan sejak bergabung dengan Malaysia pada 1963?
2. Selain faktor geografi, mengapakah pembangunan infrastruktur di Sarawak perlahan berbanding negeri-negeri di semenanjung?
3. Apakah wajar segala jenis janji pembangunan-peruntukan-bantuann diberi secara besar-besaran semasa pilihanraya?
4. Wajarkah jentera kerajaan disalah guna untuk kempen Pilihan Raya Negeri ini?
5.Apakah tanggapan rakyat berkenaan lambakan projek-projek ini semasa tempoh berkempen?
6. Apa pandangan SPR berkenaan janji pembangunan dan bantuan-bantuan sedemikian di dalam tempoh kempen? - Hafiz Zainuddin

source:merdeka review







cheers.

No comments: