04 May 2009

N12 Penanti - Siapa nak bilang berapa ramai penyokong yang hadir.......

Dalam usaha mengawal persekitaran luar kawalan pada hari penamaan calon, parti-parti politik yang bertanding ‘dilarang’ membawa penyokong mengiringi calon tidak lebih daripada 5,000 orang. Pendekatan itu akan dikuatkuasakan semasa pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Pulau Pinang bulan ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis telah mencapai persetujuan mengenai soal itu semasa satu pertemuan Khamis lalu. Justeru, SPR menyerahkan kepada polis untuk melaksanakan pendekatan tersebut.

“SPR dan polis merayu dan berharap parti-parti politik yang bertanding dalam mana-mana pilihan raya kecil mulai sekarang supaya mengehadkan kehadiran para penyokong yang mengiringi calon pada hari penamaan calon tidak melebihi 5,000 orang,” kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi mStar Online.

Aspek itu juga telah disentuh pada pertemuan dengan parti-parti politik 23 April lalu tetapi soal bilangan hanya dipersetujui Khamis lalu dalam pertemuan dengan polis. Beliau memberitahu, walaupun 5,000 penyokong dibolehkan mengiringi calon sehingga kawasan pekarangan pusat penamaan calon, hanya 50 orang sahaja akan dibenar memasuki khemah tetamu khas di dalam pusat penamaan calon.

Lazimnya, himpunan ribuan penyokong calon menjadi tumpuan ketika pilihan raya kecil. Sambil menyifatkan bilangan yang diputuskan itu sebagai munasabah, kata beliau, SPR menyerahkan kepada polis untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk melaksanakan pendekatan tersebut.

“Oleh kerana perkara ini tidak disebut dalam mana-mana peraturan pilihan raya, jadi apa yang SPR boleh buat ialah mengharap dan merayu kepada parti-parti politik agar memastikan kehadiran tidak melebihi 5,000 orang.

“Bagaimanapun apabila polis melaksanakan pendekatan ini di luar kawasan (pusat penamaan calon), terserah kepada pihak polis untuk mengambil tindakan mengikut kuasa dan tanggungjawab mereka,” katanya.

Wan Ahmad mengakui bilangan penyokong yang hadir semakin bertambah dan tidak terkawal sehingga menyusahkan orang ramai dan pasukan keselamatan sejak kebelakangan ini.

“Kalau tidak dibuat sekarang, jumlah mereka yang hadir pada hari penamaan calon akan bertambah… mungkian beribu-ribu orang dan ia akan terus bertambah,” kata beliau dengan merujuk kepada suasana semasa pilihan raya kecil sejak awal 2007, khususnya di Ijok, Selangor; Permatang Pauh, Pulau Pinang, Bukit Gantang, Perak dan Bukit Selambau, Kedah.

Kata Wan Ahmad, pihaknya mahu mengambil langkah-langkah proaktif sebelum keadaan bertambah buruk pada masa depan. Jelas beliau, parti-parti politik sebenarnya telah diminta mengambil langkah mengawal emosi dan perlakuan para penyokong tetapi keadaan tidak berubah.

“Apa yang kita boleh buat ialah merayu kepada parti-parti politik yang bertanding mematuhi keputusan yang dicapai ini,” katanya.

“Kami memerlukan kerjasama parti-parti politik… kerjasama sangat diperlukan,” katanya.

Selain pendekatan itu, SPR telah memutuskan untuk melarang parti-parti politik mendirikan pondok panas dan berkempen pada hari pengundian berlangsung.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pula menyifatkan nasihat yang diputuskan oleh SPR itu sebagai langkah baik untuk mengawal situasi semasa pilihan raya kecil khususnya penamaan calon.

“SPR sudah memberikan nasihat dan kami berharap mereka akan mematuhi nasihat ini,” kata beliau sambil menambah bahawa Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah akan memaklumkan parti-parti politik mengenai pendekatan baru ini. Musa juga menghadiri pertemuan dengan SPR Khamis lalu.

source:mStar online

Nampaknya sejak UMNO/BN tewas 4-1 dalam pilihanraya kecil baru-baru ini, UMNO/BN dah nak phobia pasal bilangan penyokong yang hadir semasa hari penamaan calon ketika PRK. Lantas komponen BN - SPR dan PDRM telah mengambil langkah-langkah drastik bagi menghalang penyokong-penyokong parti pembangkang berhimpun ketika hari penamaan calon di Penanti.

UMNO/BN berasa malu melihat bahawa kehadiran penyokong-penyokong Pakatan Rakyat biasanya mencecah hampir-hampir 50,000 orang atau lebih. Semuanya hadir secara rela hati. Berbeda dengan UMNO/BN di mana penyokong-penyokongnya dipaksa hadir. Itu pun tak ramai,jadi mereka terpaksa import daripada luar. Kalau tak cukup upah pelajar-pelajar sekolah,pelatih-pelatih khidmat negara dan juga penyokong-penyokong upahan professional untuk 'to make up the crowd'dan dijanji upah RM100,nasi bungkus dan air kotak.

Kehadiran sebanyak antara 5000 hingga 7,000 yang dicadangkan itu adalah semata-mata untuk saing dengan bilangan yang sama mampu digerakkan oleh UMNO/BN saja.

Bagi penyokong-penyokong Pakatan Rakyat tak perlulah risau,kerana ini bukan peraturan dalam Akta Pilihanraya, tapi hanya understanding SPR,PDRM dan parti-parti politik yang bertanding.

Pada hari penamaan calon Penanti,penyokong-penyokong Pakatan Rakyat keluarlah beramai-ramai,kalau boleh mencecah 100,000 ramainya.....siapa yang nak bilang tiap-tiap penyokong PR yang hadir itu? SPR...PDRM..... macam depa tak ada kerja lain.






cheers.

No comments: