Akhbar Sinar Harian hari ini memetik Azizan sebagai berkata, keputusan kajian Universiti Utara Malaysia tersebut sebaliknya bakal memberi kelebihan kepada PAS.

"Pemimpin BN asyik berkhayal siapa layak jadi menteri besar jika layak berkuasa. Selepas itu kem masing-masing mula mencantas pemimpin lain yang disenaraikan lebih awal.

"Ini satu kelebihan bagi PAS Kedah," katanya mengulas kajian yang dibentangkan dalam satu program Majlis Profesor Negara pada Rabu lalu.

Laporan tersebut menyebut bahawa Mukhriz merupakan calon menteri besar paling popular sekiranya BN berjaya merampas kembali pentadbiran Kedah.




Kajian itu membandingkan peluang Mukhriz dan tiga lagi pemimpin Umno Kedah – ketua perhubungannya Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, ketua penerangan Datuk Seri Mohd Jamil Khir Baharom dan ketua pembangkang DUN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.


penang kedah timber logging azizan abdul razak 310708 01Azizan juga kecewa dengan peranan Majlis Profesor Negara (MPN) yang menganjurkan program perbincangan bagi kajian terbabit.

Beliau berkata, golongan pengkaji berkenaan "seolah-olah telah diperalat pihak tertentu bagi membangkitkan isu ini demi kepentingan kumpulan tertentu".

"Saya kecewa kerana tahap pemikiran golongan profesor tidak jauh bezanya dengan pemimpin peringkat bawahan BN yang memfokuskann isu remeh seperti calon MB.

"Ini suatu yang malang kerana golongan cerdik pandai sepatutnya mengkaji isu yang lebih serius," katanya lagi dalam laporan itu.

Laporan yang dibentangkan oleh Prof Madya Dr Rohana Yusof dari UUM juga menyatakan bahawa BN lebih berpeluang untuk merampas Kedah dari tangan PAS dalam pilihan raya umum akan datang.

Kajian itu juga menunjukkan bahawa 52 peratus daripada responden menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap pentadbiran PAS negeri, manakala 59 peratus daripadanya berpendapat bahawa janji pilihan raya PAS masih belum dipenuhi.

Seramai 54 peratus lagi tidak mahu kerajaan pimpinan PAS dipilih semula, manakala 47 peratus menyatakan bahawa masa depan orang Melayu lebih baik di bawah pentadbiran BN.

Azizan menganggap kajian yang menyatakan majoriti rakyat Kedah memilih BN itu sebagai kajian yang dibuat secara rawak.

Kedah, yang merupakan kubu kuat Umno sebelum ini jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum 2008.- malaysiakini