29 March 2011

Video seks: Tindakan desperado UMNO....

“Kasihan Anwar! Dia diainaya dan dizalimi.” Inilah kata-kata yang terhembur keluar dari mulut individu-individu yang duduk berbincang sesama mereka, di mana sahaja sempat mereka bertemu dan berkumpul.

Inilah reaksi spontan orang ramai yang baru didedahkan dengan berita panas yang membabitkan Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan video seks yang telah ditayangkan kepada para wartawan dan individu tertentu termasuk ahli politik di beberapa buah hotel di sekitar Kuala Lumpur termasuk Hotel Carcosa Sri Negara yang sebelum ini dijadikan hotel tempat penginapan tetamu negara yang melakukan lawatan resmi ke negara ini.

Belum pun selesai kes liwat yang kini sedang dibicarakan di mahkamah, Anwar dihadapkan pula dengan fitnah baru video seks yang mengaitkan pemimpin Pakatan Rakyat itu. Konspirasi fitnah ini didalangkan untuk membunuh karekter Anwar bagi menghalang kemaraan pemimpin yang bercita-cita untuk menawan Putrajaya dan mengambil alih pimpinan negara, melalui gabungan Pakatan Rakyat, selepas pilihanraya ke-13 nanti.

Dengan penetapan tarikh penamaan calon dan pilihanraya DUN Sarawak, masing-masing pada 6 April dan 16 April ini, maka pilihanraya umum ke-13 dijangka diadakan tahun hadapan, sebelum tamat tempuh mandat lima tahun yang sepatutnya berakhir pada 2013. Waktu semakin suntuk, untuk menyelamatkan Umno-BN, Anwar perlu dihalang segera sebelum menjelang pilihanraya ke-13.

Bergantung kepada keputusan pilihanraya DUN Sarawak,Umno-BN akan mempercepatkan tarikh pilihanraya umum, jika BN dapat mengekalkan kuasa di Sarawak, tetapi jika sebaliknya, atau BN tidak dapat mengekalkan majoriti dua-pertiga di DUN Sarawak, BN akan menunggu tamatnya tempoh mandat yang ada.

Konspirasi fitnah video seks ini menunjukkan tindakan desperado Umno-BN terhadap Anwar bagi menggagalkan keupayaan Pakatan Rakyat, gabungan PAS,PKR dan DAP yang dijangka akan membuat kehadiran yang kuat dalam pilihanraya ke-13 ini. Umno-BN sedang diburui ketakutan dan kebimbangan untuk menghadapi pilihanraya akan datang dan bagi mengekalkan kuasa, Umno-BN akan menggunakan apa sahaja cara , tipu daya sehingga sanggup merencana fitnah , tindakan di luar tatasusila, tidak berakhlak, semata-mata untuk terus memerintah. Tindakan pembunuhan karekter Anwar mampu membendung kemaraan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya akan datang , kerana Pakatan Rakyat tanpa Anwar, pada anggapan Umno-BN tidak mampu membuat kehadirannya dirasakan.

Kes liwat kedua kelihatan tidak berupaya memanjarakan Anwar seperti kes siri pertama pada tahun 1998 yang menyebabkan Anwar merengkok dalam penjara selama enam tahun. Tetapi ternyata konspirasi kes liwat pertama dulu penuh dengan pelakuan salahguna kuasa, penyelewengan apabila berlaku campurtangan kuasa eksekutif terhadap sistem keadilan dan kehakiman.Tidak wujud pembahagian antara kuasa eksekutif dengan kuasa kehakiman sebagaimana sewajarnya.

Kes liwat pertama adalah satu konspirasi diperingkat tertinggi dan begitu juga dengan kes yang sedang dibicarakan. Pihak pendakwa perlu membuktikan kes tanpa sebarang keraguan dan inilah cabaran besar yang sedang dihadapi oleh pihak pendakwa. Jika kes liwat siri kedua ini gagal untuk mengaitkan Anwar maka video seks yang mengaitkan Anwar dan didalangi oleh tiga orang datuk,Tan Sri Rahim Thamby Chik, Shazryl Eskay Abdullah dan Shuib Lazim, Bendahari Perkasa , juga akan memakan tuan.

Anwar keluar dari siri konspirasi fitnah ini lebih kuat dengan semangat juang lebih gigih dan kental, mendapat simpati rakyat terbanyak. Umno-BN kini terpaksa melakukan kawalan kerosakan yang dilakukan oleh kuncu-kuncu pemimpin tertinggi mereka. Adalah wajar dan tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa pendalangan video seks ini diketahui dan direstui oleh pimpinan tertinggi Umno-BN.

Siapa yang tidak kenal dengan Rahim, bekas Ketua Menteri Melaka dan seterusnya ramai yang mengetahui sejarahnya semasa dia memegang tampuk kuasa. Pendalangan ini adalah satu dendam politik yang tidak berkesudahan terhadap Anwar. Anwar berperanan menyebabkan karier politik Rahim tersungkur, rentetan dari kes Rahim dengan seorang gadis. Ketika itu karier politik Rahim dalam Umno sedang mendaki puncak dan sebagai Ketua Menteri Melaka, dia di antara pimpinan kerajaan negeri yang dikagumi Perdana Menteri (PM) ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anwar kini sedang menghadapi mehnah akibat dari penyertaannya dalam Umno sehingga dia menjadi Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri (TPM), sebelum dia dipecat Mahathir kerana cuba mencabar kedudukan Mahathir sehinggalah timbul konspirasi siri kes liwat pertama. Semasa Anwar membuat keputusan untuk menyertai Umno banyak pihak menasihati Anwar supaya tidak menyertainya, tetapi Anwar tetap dengan pendiriannya setelah merujukkan perkara itu kepada beberapa pihak yang rapat dengannya termasuk dari luar negara.

Walaupun perkara ini sudah menjadi sejarah, tetapi tidak salah untuk merenung sejarah. Anwar telah diingatkan bahawa dengan menyertai Umno, maka mau tidak mau, terpaksalah bergelumang dengan budaya kotor dan jijik dalam Umno. Jika kita tidak terlibat dengan budaya kotor dan jijik itu, paling kurang, terhidu juga bau kotor dan jijik itu. Inilah yang sedang menimpa Anwar sehingga sekarang.

Tindakan konspirasi fitnah datuk T atau Trio Umno ini tidak diambil tindakan segera oleh pihak berkuasa. Anwar telah membuat laporan polis, tetapi kenapa pihak polis mengambil masa yang lama untuk bertindak. Kes ini mudah, tidak berbelit-belit. Pihak yang merancangnya telah pun membuat pengakuan.

Selain siasatan terhadap individu yang memangil diri mereka sebagai datuk T,pihak polis juga sepatutnya mengambil tindakan terhadap siapa pemilik video seks itu dan penayangannya. Saksi-saksi terdiri dari para wartawan dan individu tertentu tentu telah dikenal pasti. Kenapa setakat ini tiada tindakan diambil.

Pemilikan video seks atau lucah adalah satu kesalahan, apalagi jika ia ditayang untuk tontonan ramai. Kalau premis-premis menjual video lucah atau seks diserbu dan diambil tindakan kerana menyalahi undang-undang, kenapa pihak polis tidak bertindak menahan mereka yang terlibat memiliki video berkenaan dan penayangannya kepada umum.

Rakyat sedang melihat gelagat pihak berkuasa. Bagaimana mereka akan menanggani kes ini. Kementerian Dalam Negeri yang begitu ghariah pada permulaan perkara ini didedahkan dan menggesa mereka yang dilibatkan supaya membuat laporan polis, kini membisu setelah Anwar yang dikaitkan dan menafikan penglibatan beliau membuat laporan polis.

Apa akan jadi kepada datuk T yang memiliki dan menayangkan video berkenaan? Adakah pelaksanaan undang-undang negara ini berbeza mengikut individu. Kredibaliti pasukan polis sedang tercabar dan pihak polis dilihat dalam keadaan serba salah.

Ketelusan pihak polis dalam melaksanakan siasatan sangat diharapkan oleh rakyat bagi membawa kes berprofil tinggi ini ke muka pengadilan. Budaya politik kotor dan menjijikkan ini perlu dihentikan. Bersainglah dalam medan pilihanraya melalui proses demokrasi yang sebenar dalam ruang lingkup padang permainan demokrasi yang setara, seimbang dan samarata.

Kes konspirasi fitnah ini mampu melonjakkan kemarahan dan kebangkitan rakyat dan ia dikhuatiri permulaan kepada petanda yang boleh mencetus dan mengancam kesetabilan dan keselamatan negara, apabila rakyat bosan dengan tindak-tanduk ahli politik yang tidak bermoral dan rendah harga diri, akal dan hatibudinya.— Suhaimi Mokhtar

source:harakahdaily.net

cheers.

No comments: