GST: Adakah kerajaan faham apakah maksud ‘barang keperluan asas’?
Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan dalam masa beberapa hari lagi. Di saat rakyat sedang membuat persediaan untuk menghadapinya, sedikit jaminan hadir apabila kerajaan menyatakan banyak “barang keperluan asas” yang tidak akan dicukai, dan mereka membuat yang terbaik untuk memastikan rakyat tidak terbeban.
Namun tanggapan kerajaan tentang barang apa yang menjadi “keperluan asas” atau tidak mungkin tidak sama dengan rakyat.
Menurut senarai barangan dicukai dan tidak dicukai yang dikeluarkan Jabatan Kastam pada 2 Januari lalu, barangan yang dikenakan GST termasuk Milo, sabun buku, berus gigi, pencukur dan pisau cukur.
Barang lain yang akan dikenakan GST adalah botol susu, bedak bayi, shampoo bayi, minyak bayi serta tuala wanita.
Turut tidak terlepas adalah lampin kanak-kanak dan dewasa. Begitu juga dengan susu, kecuali susu formula bayi.
Hampir semua kanak-kanak yang besekolah meminum Milo, atau sekurang-kurangnya Horlicks atau Ovaltine, yang tidak terkecuali daripada GST.
Ini adalah minuman lazim rakyat Malaysia di waktu pagi. Kopi dan teh mengandungi susu yang tidak terlepas daripada GST.
Susu pekat manis dan susu sejat – alternatif bagi mereka yang tidak terlalu berada – akan dikenakan GST.
Namun, Nescafe dikecualikan. Sementara cendol tidak.
Bagaimana pula dengan kopi lain? Adakah hanya jenama itu sahaja yang mendapat pengecualian.
Jenama itu bukanlah yang paling murah di pasaran. Adakah ia dikecualikan kerana golongan kaya membelinya?
Bukankah sistem cukai yang bakal dilaksanakan ini dikatakan tidak akan membebankan rakyat yang miskin dan terpinggir?
Bukankah tuala wanita adalah barang yang amat mustahak bagi semua perempuan, sama seperti pencukur dan pisau cukur bagi orang lelaki?
Bukankah semua bayi memerlukan lampin dan botol susu?
Adakah kerajaan benar-benar faham apakah sebenarnya yang dikatakan sebagai “barang keperluan asas”?
Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk Dr Marimuthu Nadason berkata, itulah sebenarnya soalan yang patut dibangkitkan.
“Itulah sebabnya mengapa pihak berkuasa perlu berkomunikasi dengan kumpulan pengguna, sebelum membuat senarai tersebut. Kami akan memaklumkan apakah barangan keperluan asas bagi pengguna.
“Semua lelaki dewasa bercukur. Adakah pihak berkuasa mahu mereka ke pejabat dengan tidak bercukur? Kalau mereka nak, kami boleh lakukannya. Milo sudah menjadi sebahagian daripada hidup rakyat sejak sekian lama, dan cendol pula adalah ‘makanan kebangsaan’. Ini pun anda nak ‘sapu’?”
“Setiap perempuan wajib memiliki tuala wanita. Ia adalah barang asas. Jika begitu, anda fikir golongan perempuan nak guna apa? Kesemua ini adalah barangan keperluan yang digunakan semua orang, tanpa mengira status kewangan,” katanya kepada Semut Harian.
Dalam suasana ekonomi yang mencabar ini, tidak adil untuk membebankan golongan yang sudah pun terbeban, terutama selepas berjanji tidak akan berbuat demikian.
Dengan pembaziran luar biasa seperti yang dibangkitkan dalam laporan Ketua Audit Negara, serta laporan tinjauan yang menunjukkan Malaysia adalah salah satu negara paling korup di dunia, kerajaan sepatutnya menumpukan usaha untuk membendung perkara itu.
Bukannya menghukum rakyat dengan GST, terutama dengan mengenakan cukai kepada hampir semua barangan keperluan.
Seperti yang dinyatakan Marimuthu, senarai barangan keperluan yang tidak dicukai sepatutnya dirangka dengan lebih teliti, dan dengan mengambil kira pendapat pengguna sendiri, kerana merekalah yang akhirnya akan membayar cukai.- theantdaily
GST: Does the gov’t really understand what essential goods are?
cheers.
No comments:
Post a Comment