12 January 2012

Liwat II - Bapa Datuk Mukhriz mahu rayuan dilakukan...

mahathir ebook launching 091211 04Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, apabila ditanya mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim, secara sinikal beliau menjawab:

"Walaupun saya hairan jugalah pasal dia (Anwar) tak bersalah. Tapi ini bukti bahawa tidak ada konspirasi dari dulu sampai sekarang.

"Apabila pihak mahkamah berpendapat dia (Anwar) tidak bersalah, mereka (mahkamah) berkata dia tidak bersalah. Mungkin ada pihak yang nak appeal, saya tak tahulah."

Mahathir memang terkenal dengan komen-komen sinikalnya. Anwar Ibrahim adalah bekas anak didik yang ditatang beliau satu ketika dahulu.

Namun akhirnya Anwar menjadi musuh politik nombor satu Mahathir yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun itu. Anwar juga merupakan satu-satunya ahli politik yang masih belum dapat “dibunuh” karier politiknya olehnya.

Ahli-ahli politik lain seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Musa Hitam dan ramai lagi, terpelanting dengan mudah apabila bertembung dengan Mahathir.


Sudah pasti Mahathir adalah orang yang paling tidak gembira dengan keputusan mahkamah tersebut. Jika Anwar didapati bersalah Isnin lalu, Mahathir sudah boleh berehat dengan tenang bersama keluarganya menghabiskan sisa-sisa hayatnya yang masih ada.

NONEApabila Mahathir berkata, “Mungkin ada pihak nak appeal, saya tak tahulah” – ini merupakan satu isyarat bahawa kes liwat II ini masih belum selesai dan sudah pasti bapa kepada Datuk Mukhriz itu mahu rayuan dilakukan terhadap keputusan mahkamah supaya perang liwat II berterusan.

Peperangan politik antara Mahathir-Anwar masih belum selesai walaupun ia telah memakan masa hampir 12 tahun. Suka tak suka pertembungan antara kedua-dua ahli politik ini telah mengheret seluruh negara bersama.

Glongan pro transformasi

Walaupun kecil dalam Umno, golongan ini sedikit sebanyak membantu memulihkan sokongan orang muda terhadap Barisan Nasional (BN). Golongan ini, kebanyakannya, adalah bekas penyokong Anwar sewaktu dalam Umno dahulu.

Golongan ini gembira dengan keputusan mahkamah dan selepas selesai kes liwat II ini, mereka mahu perlawanan antara BN dan Pakatan Rakyat naik ke tahap yang lebih matang iaitu ke tahap polisi.

student handing memo to saifuddin abdullah on academic freedomTimbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah adalah antara yang tergolong dalam golongan ini. Keberanian beliau untuk berhadapan dengan politikus Pakatan dalam majlis-majlis debat sedikit sebanyak telah memenangi hati anak-anak muda dan pengundi atas pagar.

Akan tetapi di dalam parti Umno, golongan pro-transformasi terlalu lemah dan jika transformasi politik itu bukan program Datuk Seri Najib Razak selaku presiden dan perdana menteri, sudah pasti golongan ini telah lama dikuburkan.

Sebab itu kita boleh lihat kurangnya komen-komen dari golongan pro-transformasi mengenai keputusan mahkamah Isnin lalu. Mungkin golongan ini mengambil sikap berhati-hati oleh kerana kini, umum tahu golongan “garis keras” dalam Umno yang dipayungi oleh Mahathir sedang marah.

Sokong parti kuat

Politik Melayu itu mudah. Sokongan diberikan kepada parti yang kuat. Arwah atuk penulis sendiri pernah berpesan, jika mahu menyertai politik, ikutlah parti yang kuat.

Keputusan mahkamah Isnin lalu telah memberikan satu kekuatan baru kepada Anwar Ibrahim dalam usaha untuk memenangi hati majoriti pengundi Melayu terutamanya di kawasan luar bandar sekaligus menawan Putrajaya.

Bekas menteri Umno yang masih ahli parti tersebut, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir secara terang-terangan telah menunjukkan sokongannya terhadap Anwar. Beliau hadir ke rumah Anwar dan menemani mantan timbalan perdana menteri itu ke mahkamah pada hari keputusan diumumkan.

Tindakan Kadir ini juga boleh dilihat sebagai isyarat jelas beliau tidak bersama Najib. Jika Datuk Zaid Ibrahim pada satu ketika dahulu dipecat dari Umno kerana hadir di kongres PKR, apa pula tindakan yang bakal dikenakan terhadap Kadir yang juga merupakan timbalan presiden AMANAH – di bawah pimpinan Ku Li.

Setidak-tidaknya, penyokong Kadir akan mengikut jejak langkah beliau untuk memberikan sokongan kepada Anwar Ibrahim. Ini merupakan satu kerugian politik kepada Najib Razak.

Apa yang bakal terjadi?

Kita lihat nanti apabila pendakwaraya membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah Isnin lalu. Apabila itu berlaku, lebih jelas lagi perpecahan dalam Umno kelihatan.

Najib akan berusaha keras untuk pastikan keputusan mahkamah Isnin lalu kekal di mahkamah rayuan. Jika keputusan mahkamah rayuan berbeza, hilang terus kepercayaan golongan atas pagar terhadap program transformasi politik beliau.

Sementara golongan “garis keras” yang berdiri di belakang timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahukan Anwar disimpan dalam penjara agar ketua pembangkang itu mengalami nasib seperti mantan pengerusi Putera-AMCJA, Dr Burhanuddin Helmy – menghabiskan masa lama dalam penjara sepanjang perjuangan politiknya.

Jika gagal menjinakkan golongan garis keras dalam Umno,Najib akan berada dalam keadaan, “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”. Apatah lagi pada ketika ini Umno mengalami masalah besar di basis sokongan mereka – Melayu kawasan pedalaman apabila Skandal NFC diketahui umum. - Amin Iskandar

source:malaysiakini

Doing Away With Anwar

cheers.

1 comment:

Anonymous said...

Bagaimanalah keadaan kalau Liwat II ni berlaku pada zaman Mahathir? Yang pasti apa dalam benak fikirannya tidak pernah menganggap isu ini selesai dan airmuka Mahathir tidak membayangkan bahawa isu ini menemui noktah, maka selagi itulah serabut kepalanya bagaikan menidak realiti sebenar lebih-lebih lagi kalau ianya adalah betul-betul satu konspirasi terancang.Kita tidak boleh menafikan hak untuk mendapat keadilan adalah milik setiap individu walau dimahkamah mana-mana sekali pun, tapi apa yang ketara isu liwat II ini telah dimuatkan sepenuhnya dari satu siri ke satu siri dengan cukup impak dan impresif. Tukang canang tukang lakun semua berperanan tapi realitinya mereka pasti tertinggal dek detik kealpaan lantaran keputusan tidak bersalah telah menyebelahi Anwar. Tidak hairan yang kecewa juga begitu ramai !!