“Tiada masa saya tidak susah, cuma suka (hari gembira) saya lebih daripada susah.” Demikian rumusan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulas dua dekad kepimpinan beliau sebagai Menteri Besar Kelantan. Mengulas lanjut mengenai perjalanan kepimpinannya sejak akhir 1990, Nik Aziz berkata, “susah senang memang hidup saya.”
“Hidup seorang pejuang mesti ada senang, ada susah... tiada masa saya susah, senang campur susah, susah campur senang, saya boleh bertahan,” kata beliau dalam satu pertemuan dengan The Malaysian Insider di Kota Baru baru-baru ini.
Mursyidul Am PAS ini menambah, sebagai seorang Islam beliau yakin bahawa apa yang dibuatnya adalah betul.
“Allah akan bagi restu kepada saya, dunia akhirat, ini kelebihan Islam,” kata pemimpin berusia 79 tahun ini yang sejak dua tahun kebelakangan ini berhadapan siri kritikan termasuk berhubung isu pelantikan anak dan menantunya dalam jawatan agensi kerajaan negeri.
Mereka termasuk Nik Abduh dan menantu Ariffahmi Abdul Rahman. Mengulas lanjut peringkat awal memimpin Kelantan, Nik Aziz berkata, beliau sudah tentu berhadapan dengan kesukaran jika memimpin tanpa ada pandungan dan pengalaman pemimpin lain sebelum itu.
“Tetapi oleh kerana sebelum saya datang, sudah ada pemimpin, pemimpin yang saya maksudkan ini ialah Nabi Muhammad... Nabi Muhammad adalah pemimpin yang dilantik oleh Allah sendiri,” katanya.
“Kesusahan yang menimpa saya dalam memimpin ini, 101 (peratus sedikit) berbanding dengan Nabi Muhammad, terlalu sikit kerana segala usaha penentangan yang dibuat oleh manusia kepada Nabi, orang yang sama... oleh yang demikian, saya hanya tiru, tiru, tiru ajaran Nabi Muhammad.
“Perkara yang pertama Nabi Muhammad atasi ialah pemikiran manusia, bukannya jalan. Kalau Nabi Muhammad tak ada pun manusia akan buat jalan, saya pergi ke China tiga, empat kali, saya pergi ke London serupa sahaja.
“Sedangkan China komunis, dan Amerika ini demokrasi, orang ini berperang bukan... tapi dari segi jalan serupa sahaja, fizikal serupa, yang penting ialah pemikiran. Nabi Muhammad bawa Islam supaya manusia tumpu pada Allah,” katanya lagi.
Dalam temu bual yang turut diselitkan dengan misalan-misalan prinsip agama, Nik Aziz menambah, oleh yang demikian manusia tidak boleh pandai-pandai bertindak.
“Tak boleh pandai-pandai di atas bumi yang ditumpang ini. Macam saya, walaupun saya menteri besar, kalau saya pergi kampung saya tak boleh masuk dapur.
“Saya menteri besar pun saya menumpang rumah orang,” kata beliau. yang meluangkan setiap Jumaat untuk kuliah pagi di Dataran Ilmu, Kota Baru.
Menggambarkan lagi perjalanan kepimpinananya, Nik Aziz memberitahu, Melayu Umno menggunakan dendam dan kekerasan dalam menghadapi perjuangan PAS.
“Alhamdulillah... dulu dalam 50 tahun dulu, masa mula-mula PAS terima (ditubuhkan) dulu, Oh! bukan sahaja Umno-Melayu ini lawan saya, sampai tok guru agama pun ditangkap ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) oleh Umno, tok guru-tok guru banyak kena ISA kerana Umno tidak boleh jawab.
“Bila kita soal orang, bila dia tidak boleh jawab, dia (akan) guna kuasa, manusia akan guna kuasa selagi dia tidak boleh jawab... macam sekatan jalan, polis buat sekatan jalan, (dan tanya) ada lesen?
“Kalau boleh jawab kita jawab, (misalnya) baru sekejab tadi lesen jatuh dari poket saya, kita boleh jawab. Tapi bila lesen tak ada, pemandu ini guna kuasa dia melarikan diri atau dia merempuh polis.
“Bila dia merempuh polis, bila kita tak boleh hujah kita menggunakan kekuasaan, manusia begitu,” katanya sambil menambah, “begitu juga dengan PAS dan Umno.”
Nik Aziz mempertahankan partinya dengan berkata, PAS berada di jalan yang sebenar sejak ditubuhkan enam dekad lalu.
“Umno tak boleh jawab, maka dia guna ISA untuk mendiamkan, mematikan pemikiran rakyat sendiri,” kata Nik Aziz yang salah seorang anak lelakinya turut ditahan di bawah ISA ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Ini dendam yang dibuat oleh Melayu-Umno terhadap perjuangan PAS. Anak saya kena ditangkap ISA, tak tahu apa sebab, banyak (lagi) guru-guru agama,” kata Nik Aziz lagi.
Nik Adli ditahan pada 4 Ogos 2001 kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan pergerakan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) dan dibebaskan lima tahun kemudian. Ketika ditanya adakah beliau sedih anaknya ditahan di bawah ISA, Nik Aziz memberitahu, “sedih itu sedihlah.”
“Tetapi saya dah tahu dari awal-awal lagi, lawan Umno ini bukan sebarangan orang, Umno ini ada kuasa,” katanya sekali lagi merujuk kepada pengalaman Nabi Muhammad yang terpaksa meninggalkan Mekah untuk ke Madinah “oleh kerana jahatnya bapa saudara.”
“Jadi saya tahu, bila saya lawan Umno saya tahu benda ini, sedih, sedih lah tapi kita ada Tuhan, kita berdoa,” katanya.
Nik Aziz seterusnya menjelaskan bahawa beliau berpegang pada prinsip semua orang akan mati satu hati nanti.
“Mu (kamu) akan mati aku (saya) akan mati, dia akan mati, mati dah banyak dah... ketua-ketua polis yang kacau itu dah mati habis dah.
“Sebab itu kata saya tadi, walaupun tugas saya berat untuk melawan Umno, tapi saya ada contoh untuk tiru sebelum saya datang iaitu Nabi Muhammad, ada senang ada susah,” kata beliau dengan menambah oleh kerana Umno dari awal-awal lagi sudah menolak Islam dengan menggunakan kebangsaan Melayu, maka tiada contoh kepimpinan untuk mereka jadikan sebagai teladan.
“Dia buat salah, tak erti dosa, sekarang alhamdulillah bukan sahaja Melayu Umno sokong PAS, malah Cina, India... dia sokong dengan adanya Kelab Penyokong PAS, bukan Kelab Penyokong Umno.
“Dia tahu PAS tidak ada apa-apa, tapi ada kebenaran, manusia boleh hidup dengan kebenaran, hati senang,” katanya lagi.
Ketika ditanya sama ada gembira dengan pencapaian sebagai Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz menambah:
“Alhamdulillah... saya walau bagaimanapun gembira. Pertama, saya berada di landasan yang betul, ini perkara pokok.”
“Soal orang hendak sokong, orang tidak mahu sokong, itu masalah orang. Saya gembira kerana saya berada di landasan yang betul iaitu Islam.
“Islam datang daripada Allah, bukan daripada Nabi Muhammad, bukan dari PAS tidak,” katanya.
Mengenai kritikan terhadap kepimpinannya, Nik Aziz berkata, isu yang paling banyak dilontarkan oleh Umno ialah tiadanya pembangunan.
“Tetapi sekarang ini dia sendiri boleh tengok pembangunan. Berbanding dengan 10 tahun dahulu sekarang pembangunan banyak (dapat dilihat di Kelantan). Susah Umno sekarang, susah Umno apabila melihat pembangunan di Kelantan dan di Kota Baru.
“Dulu dia kritik tiada pembangunan, sekarang ada pembangunan, baru-baru (kami) menandatangani perjanjian pembangunan Bandar Baru Tunjong,” kata Nik Aziz yang merupakan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Bandar Baru Tunjong.
Bandar yang meliputi kawasan seluas 800 hektar itu terletak kira-kira lima kilometer dari pusat bandar Kota Baru dan mula diusahakan pada Februari 2006. Beliau juga menjelaskan, isu pelantikan Ariffahmi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan.
“Saya melantik menantu saya di depan penasihat undang-undang dalam mesyuarat penuh, depan setiausaha kerajaan negeri, dia tak kata apa-apa, dia senyap... dia tak kata apa-apa, diam.
“Dalam Islam diam itu tanda bersetuju... tak salah saya, dia diam, tiada bantahan. Sekarang saya minta dia keluar (berhenti),” katanya lagi.- G. Manimaran
source:malaysian insider
cheers.
No comments:
Post a Comment