“Pasal apa saya rela dikutuk? Sebab saya mau jaga rakyat,” kata Datuk Zaid Ibrahim, calon Pakatan Rakyat untuk calon kerusi parlimen Hulu Selangor untuk pilihanraya kecil yang akan berlangsung 25hb April ini. Zaid berkata demikian apabila bertemu dengan lebih kurang 50 pekerja estet di Pekan Kerling, semalam, di mana beliau berkongsi harapannya untuk membela pengundi-pengundi Hulu Selangor. Katanya, walaupun Hulu Selangor diwakili oleh MIC untuk tiga penggal, nasib peladang di estat, terutamanya orang India, tidak berubah.
“Sudah berapa tahun MIC kata jaga orang India? Di Hulu Selangor sudah berapa tahun di Parlimen? Di estet ini gaji berapa?” beliau bertanya.
“Apa yang boleh MIC jaga? Mereka tidak boleh jaga orang India sebab dia takut Umno punya orang. Umno besar lagi (daripada MIC),” katanya apabila dijawab para hadirin yang pekerja estet itu hanya bergaji RM500 sebulan.
“Yang RM300, RM600 sebulan itu ada ramai, beribu-ribu mereka di Malaysia. Kalau kita mahu jaga orang India di Malaysia ini, tidak boleh harapkan MIC,” beliau menyambung.
“Saya orang Melayu, tapi saya boleh jaga (orang keturunan India yang miskin), sebab saya dulu pun RM300 sebulan pun susah,” kata Zaid, yang mengaku dirinya membesar di kampung yang miskin. Katanya, walaupun tidak mengenal Hulu Selangor dengan terperinci, beliau kenal dengan nasib orang miskin dan berjanji membela nasib orang miskin di Hulu Selangor.
“Itu sebab Umno takut sama saya. Ooooohhhh… banyak takut! Hari-hari dia ‘pukul’ saya. Dia takut kerana dia sudah samun harta. Dia takut sama saya sebab kami mau harta kerajaan bagi rakyat.”
Walaupun miskin, undi orang miskin juga kira, Zaid bertekan. “Undi itu satu saja. Kita jangan takut. Kalau (BN) datang bagi duit, ambil sahajalah – minta lebih, itu rakyat punya wang. Tapi jangan sia-sia, jangan buang undi ini.”
Beliau mengingatkan hadirin sekalian yang mereka boleh menolaknya selepas satu penggal jika tidak berpuas dengan perwakilan beliau di Parlimen. “Saya percaya, kalau orang keturunan India di Hulu Selangor memilih saya, saya akan jaga dia. Sekurang-kurangnya kerana saya berani bersuara. Saya tak takut MIC, Umno. Calon MIC, dia takut Umno. Dia mahu jadi menteri. Saya mau jaga rakyat.”
“Saya dulu menteri,” kata Zaid. “Sekarang tiada, saya tak mahu lagi. Saya lebih suka jaga rakyat. Tapi pasal apa saya susah-susah? Pasal apa saya boleh terima segala kecaman, tiap-tiap hari, saya rela dikutuk? Sebab saya mahu jaga rakyat.”
Zaid terus mencabar para hadirin dengan mengacukan jari kepada semua yang hadir dengan bertanya: “Kalau saya takut… dan ini, ini, kamu, kamu, kalau kamu takut, siapa mahu jaga rakyat?”
“Ahad ini, jangan takut. Undi saya, nombor empat,” Zaid berseru. “Pada hari Ahad ini, keluarlah beramai-ramai. Tolong beritahu semua di kawasan ini yang kita boleh ubah politik Malaysia ini, kita boleh ubah negara ini.
Sesi beliau dengan pekerja estet diakhiri dengan laungan “Reformasi” dan “Jatuhkan BN!” Beliau kemudian mengunjungi rumah-rumah di sekeliling estet tersebut, termasuk Kampung Baru Air Panas yang berdekatan.
source:zaiduntukrakyat.com
cheers.
No comments:
Post a Comment