PKR dan PAS akan berentap antara satu sama lain di enam kerusi - sebuah Parlimen dan lima DUN - dalam pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei depan.

Kerusi Parlimen tersebut ialah Labuan, manakala lima kerusi DUN itu ialah Sungai Acheh di Pulau Pinang, Kota Damansara (Selangor) serta tiga lagi DUN di Terengganu - Kota Putera, Bukit Besi, Seberang Takir.

Di Labuan, PKR mencalonkan Ibrahim Menudin manakala PAS meletakkan Hadnan Mohamad.

Mereka akan berdepan dengan pendatang baru Rosman Isli dari Umno. Pada 2008, kerusi itu dimenangi oleh Yusof Mahal dari Umno dengan majoriti yang besar.

Star Online melaporkan Ibrahim sebagai berkata tiada kompromi dan mereka akan berentap antara satu sama lain.

Katanya, mereka tidak boleh menarik diri kerana sudah memfailkan kertas pencalonan dan jika berbuat demikian, akan hilang wang deposit.

Ibrahim, merupakan salah seorang rekrut baru PKR dengan latar belakang korporat, yang juga bertanding kerusi DUN Bongowan di bawah Parlimen Kimanis.

Di Pulau Pinang, PKR dan PAS akan bertembung di Sungai Acheh.

PKR meletakkan Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai CheguBard manakala PAS meletakkan Mohd Yusni Mat Piah.

Kerusi itu disandang oleh Mahmud Zakaria dari Umno, yang menang pada 2008 dengan majoriti nipis 250 undi.


Di Kota Putera, Adam Mat Said (PAS) dan Mohamed Abdul Ghani Ibrahim (PKR) akan berdepan dengan Mohd Mahdi Musa (BN).

Di Bukit Besi pula, PAS dan PKR turut meletakkan calon masing-masing iaitu Roslan Islam (PAS) dan Mohd Shamsul Mat Amin (PKR). Mereka akan berdepan dengan calon BN, Roslee Daud.

Kerusi Kota Damansara pula akan ditandingi enam calon, termasuk dari PAS dan PKR. Mereka ialah Ridzuan Ismail (PAS), Halimaton Saadiah Bohan (BN), Mohd Nasir Hashim (PKR-penyandang), Halmi Omar (Bebas), Edros Abdullah (Bebas) dan Suppiah a/l Anandan (Bebas).- malaysiakini