26 December 2008

P.36 KT - 'Ang Pau' RM300 dari gomen untuk umpan pengundi Cina......

Pengundi Cina diingatkan agar tidak termakan 'umpan' dana khas kerajaan Persekutuan yang kini mula diagihkan sebagai 'Ang Pau' oleh pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu. Pengerusi DAP cawangan Kuala Terengganu, Ng Chai Hing berkata pembahagian duit 'Ang Pau' yang digunakan dari peruntukkan dana khas sedang giat diagih-agihkan kepada penduduk di Bandar Kuala Terengganu.

Katanya, pemberian tersebut berselindung atas nama sempena Tahun Baru Cina diagih-agihkan kepada penduduk berketurunan tionghua.

"Saya harap rakyat terutama pengundi kaum tionghua yang akan terlibat dengan Pilihan Raya Kecil P.36 Kuala Terengganu ini tidak termakan umpan dana khas RM300 seorang itu.

"Duit 'Ang Pau' dana khas itu boleh ambil sebab bukan duit peribadi pemimpin MCA-BN tetapi itu memang duit rakyat yang diambil dari royalty.

"Saya harap rakyat boleh ambil duit sahaja tetapi undi dalam Pilihan Raya Kecil pada 17 Januari 2009 depan kita (pengundi) tidak gadai hanya kerana 'habuan' RM300 sahaja," jelasnya kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau yakin para pengundi dan rakyat di Terengganu ini terutama kaum tionghua sudah matang berpolitik serta dapat mengikut arus perubahan tsunami politik seluruh negara. Kata Ng, pemberian dana khas (Ang pau) itu sememangnya patut diberikan kepada semua rakyat yang layak dan bukan di kalangan pengikut serta penyokong MCA dan kerajaan BN sahaja.

"Orang (BN) bagi duit ambil, orang bagi kain pakai, orang bagi gula kacau, tetapi tiba masa mengundi kita (rakyat) tolak BN undi PAS," ujarnya mengambil kata-kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurutnya, masyarakat Cina di Kuala Terengganu ini tidak mendapat pembelaan yang baik meski pun mempunyai seorang wakil rakyat dari kalangan parti MCA.

Katanya, pelbagai masalah gagal diselesaikan oleh kerajaan BN termasuk kesesakan jalan di Bandar, kekurangan parkir kereta, longkang tersumbat, banjir kilat dan pembangunan tidak seimbang.

source: harakah daily

Depa buat macam duit bapa depa............

cheers.

No comments: