02 March 2008

Anwar masih lagi menyengat.......

Saya menerima beberapa SMS mengatakan bahawa Anwar Ibrahim akan beceramah di dewan Sekolah Han Chiang jam 8.00 malam ini bersama-sama tokoh-tokoh utama DAP yang bertanding di beberapa kawasan Parlimen dan DUN Pulau Pinang. Setelah menyemak tentang jadual ceramah ini dalam blog Anwar,saya mengambil keputusan untuk menghadirinya walaupun keadaan kesihatan tidak begitu mengizinkan.

Saya bertolak ke dewan Sekolah Han Chiang lebih kurang lepas solat Magrib tetapi bila sampai ke Jalan Mesjid Negeri(Greenlane) keadaan trafik menjadi kelam kabut kerana jam sakan. Saya pintas masuk jalan Batu Lanchang di sana pun keadaan pun sama. Rupanya kesesakan jalanraya berlaku di merata-rata jalan yang menuju ke Sekolah Han Chiang tersebut. Sampai ke sekolah, keadaan parking sudah menjadi lintang pukang, hinggakan pasukan RELA yang ditugaskan untuk mengawal trafik tidak dapat buat apa-apa lagi. Memandangkan tidak dapat parking di dalam kawasan sekolah,maka terpaksa mencari parking di tepi jalan dan berjalan hampir setengah kilometer ke dewan tersebut.

Kawasan di sekolah Han Chiang,dibanjiri ribuan orang dan dewan yang boleh mengisikan lebih kurang 1000 orang begitu sesak hingga melimpah ke luar. Saya hanya dapat berdiri dicelah-celah orang ramai menonton sebuah skrin besar yang diletak di luar dewan.

Lebih kurang pukul 8.05 minit Anwar pun tiba dan disambut dengan tepukan yang gemuruh sekali serta laungan hidup Anwar. Anwar,seperti biasa berucap dengan fasih dan lantang sambil menyelar pemimpin-pemimpin gomen yang terlibat dengan amalan rasuah,salahguna kuasa dan kronisma dengan memberi beberapa contoh yang jelas dan nyata. Anwar juga menyentuh tentang kualiti pendidikan di universiti-universiti kita,harga barangan dan juga apa BR akan buat jika menang nanti. Setiap kali beliau menyelar gomen,beliau disambut dengan tepukan yang gemuruh oleh orang ramai di dalam dan di luar dewan yang beranggaran lebih daripada 7000 orang. Anwar hanya dapat berucap lebih kurang 30 minit dan beredar ke tempat lain untuk menyambungkan siri ceramahnya seperti yang jadualkan pada hari tersebut.



Malangnya tidak sampai 10 minit mendengar ucapan Anwar hujan turun dengan lebat. Oleh kerana saya berada di luar dewan terpaksalah berlari lintang pukang mencari tempat berteduh dicelah-celah bangunan yang ada berhampiran dewan itu. Anwar berucap tidak sampai 30 minit,beliau terpaksa berhenti kerana terpaksa bergegas ke tempat lain untuk menyambungkan siri ceramahnya seperti yang jadualkan pada hari tersebut. Hujan tetap turun tidak berhenti sehingga lewat pukul 9.45 malam,namun demikian orang masih berpusu-pusu datang dan ramai agak kecewa kerana tidak sempat mendengar amanat Anwar.

Bila hujan mula reda,saya pun beredar dari situ. Ketika sedang memandu balik,terbayang peristewa di sekolah Han Chiang sambil memikirkan kalaulah ribuan orang yang hadir itu adalah pengundi yang sah,sudah tentu BN akan sakit kali ini. Tetapi, sekiranya mereka yang datang itu bukan pengundi berdaftar maka pakatan pembangkang pula tenat keadaanya. Namun demikian saya rasa mungkin 3/4 yang hadir itu adalah pengundi berdaftar dan suasana begitu memberi ruang untuk pakatan pembangkang menembusi kubu-kubu BN dan sekurang - kurangnya menewaskan gomen BN di Penang dan mengurangkan majority 2/3 BN di Parlimen.

Apa-apa pun, kehadiran Anwar membawa semangat baru kepada pakatan pembangkang di pulau mutiara ini dan nampaknya Anwar masih relevan dalam arena politik tanah air Pak Lah ooi......








in Penang.....





.......in Penang




.....in Bagan






cheers.

1 comment:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.