21 January 2010

Menteri tak faham undang jangan cakap pasal royalti........

Bekas ketua hakim negara Tun Mohd Salleh Abas berkata, ahli-ahli politik termasuk anggota jemaah menteri dari Umno, yang tidak mahir tentang undang-undang pembangunan petroleum tidak wajar memperkudakan isu pertikaian wang royalti antara kerajaan negeri dan pusat khususnya dalam tuntutan Kelantan sekarang.

Oleh itu tegas beliau, dari segi undang-undang, rakyat kini seolah-olah dikelirukan oleh ahli-ahli politik yang berfikiran sempit tentang selok-belok perundangan dalam isu tuntutan royalti minyak oleh Kelantan dan Terengganu.

Salleh antara individu terlibat langsung dengan penubuhan Petroliam Nasional Berhad pada 1974 yang terikat dengan Akta Pembangunan Petroliam 1974 amat memahami matlamat awal penubuhannnya terlalu kecewa terhadap kesulitan yang sedang berlaku sekarang ini. “Ia tidak lain semata-mata kerana hati busuk sesetengah pemimpin Umno. Dulu Terengganu. Sekarang Kelantan pula dinafikan haknya,” katanya.

Mengulas lanjut, isu tuntutan royalti minyak kini dicemari pelbagai tafsiran tidak jelas dari mereka yang tidak mahir dengan undang-undang kerana politik telah mengatasi kepentingan rakyat.

Tegasnya, bab undang-undang perlu ditelaah secara mendalam oleh ahli politik sekiranya perkara itu ingin dicanangkan kepada rakyat bukannya bercakap berdasarkan kepentingan politik peribadi kerana semata-mata ingin menonjolkan diri di mata ketua.

Persoalan yang ada di hadapan kita semua sekarang ialah berkaitan hak sesebuah negeri dalam menuntut royalti dari Petronas, bukannya dari kerajaan pusat.

“Orang ramai mesti faham perkara ini. Sekali lagi saya tegaskan, bukanya dari kerajaan pusat.

“Kerajaan pusat juga mendapat royalti dari Petronas,” kata beliau ketika ditemui di kediamannya di sini.

Timbulnya penafian hak oleh kerajaan pusat terhadap Terengganu dan Kelantan dalam isu tersebut, beliau berkata adalah kerana terdapat unsur politik, lantaran dendam kesumat pemimpin Umno terhadap PAS.

Salleh merujuk sejarah pembayaran royalti minyak kepada Terengganu sebanyak lima peratus, yang dibayar dua kali setahun semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Namun kata beliau, hak itu disekat selepas berlaku peralihan kuasa kerajaan negeri kepada PAS pada 1999. Terengganu dikuasai PAS pada 1999 manakala Kelantan diambil alih oleh PAS sejak 1990.

Sebelum ini dua rakyat kelahiran Kelantan dalam jemaah iaitu Datuk Mustapha Mohamad dan Datuk Dr Awang Adek Husein dilabel sebagai tidak ‘cakna’ terhadap kepentingan rakyat negeri sendiri apabila mengambil langkah cuba menolak hak royalti Kelantan sebaliknya terus mempertahan pemberian wang ihsan.

Pemberian wang ihsan kepada Kelantan diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tahun lalu sebagai ganti royalti dan ia akan dibayar tahun ini.

Ketika diminta mengulas cabaran pemimpin Umno agar isu tersebut dibawa ke mahkamah beliau berpendapat langkah itu adalah pilihan terakhir selepas gagal menemukan titik penyelesaian melalui perundingan.

“Kalau kita tengok kes Terengganu, kes sama lah tu, hingga sekarang masih belum selesai,” katanya.

Menyentuh mengenai pembayaran wang ihsan, Salleh menambah, ia wujud setelah Kelantan membuat tuntutan Royalti.

“Kenapa dulu tidak diberi wang ihsan itu?” soalnya.

source:malaysian insider

Ku Li akan beri ceramah pasal isu royalti minyak Kelantan pada 28 Jan.2010. Baca sini.

cheers.

No comments: