11 June 2009

Tok Guru Nik Aziz tetap tolak Kerajaan Perpaduan..........

Harakah: Sepanjang Muktamar PAS berlansung, media banyak memperkatakan tentang kerajaan perpaduan. Tumpuan mereka kepada isu ini cukup mengelirukan. Boleh Tok Guru perjelaskan sedikit?

TG Nik Aziz : Umno sekarang ini telah bersiap sedia dengan pisau, garpu untuk meratah PAS daripada kenyataan-kenyataan pemimpin dia. Sekarang ini nampak sangat Umno terliur untuk memamah PAS. Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin mencabar Tok Guru letak jawatan? Apa respons Tok Guru? Yang sepatutnya, dia (Khairy) yang letak jawatan kerana dia tidak dipilih dalam kabinet Najib Tun Razak. Dia tak dilantik jadi menteri atau timbalan menteripun. Sepatutnya dialah letak jawatan, tetapi tertukar orang. Patutnya dia letak jawatan kerana beliau dipinggir oleh partinya sendiri. Bagi saya, keputusan muktamar menolak kerajaan perpaduan, betul-betul seperti mana kehendak Mursyidul Am.

Harakah : Sepanjang perbahasan, nampaknya perwakilan lebih cenderung untuk tidak mahu PAS mengadadakan perbincangan dengan Umno. Bukan sahaja berkongsi kuasa, tetapi berbincang pun mereka tidak berminat. Apa sebenarnya yang berlaku Tok Guru?

TG Nik Aziz : Bagi saya, masalah muzakarah-muqabalah tidak perlu ditimbulkan secara agenda. Benda ini, Islam telah lama membuka peluang untuk berbincang. Kita hendak sebutkan sebagai agenda adalah satu yang tidak betul, seakan-akan Islam tiada agenda untuk bertemu dengan orang. Sedangkan Islam terbuka selama-lamanya. Tidak perlu diagendakan dalam ucapan kita kerana barang sudah sedia ada. Dalam istilah Arab dipanggil tahsilul hasil yakni mengadakan benda yang sudah sedia ada. Jadi, Islam sejak daripada awal lagi membuka peluang kepada manusia yang menentangnya untuk berbincang. Itu sejak awal lagi, tidak perlu diagendakan. Bila kita mengagendakan apa yang sudah sedia ada bererti kita mengadakan barang yang sudah sedia.

Harakah : Maksud Tok Guru, mengadakan perbincangan dengan Umno ini sebagai suatu yang telah sedia ada sifatnya? Begitu?

TG Nik Aziz : Ya! Tetapi berbincang untuk berkerajaan, untuk bersama dengan Umno, yang ini memang saya tidak boleh terima langsung. Ini kerana saya sebagai orang Kelantan sebagaimana yang saya sebut dalam ucapan saya, orang lain tidak merasa pahit maung bersama Umno. Sejak daripada dulu, Umno tangkap tok guru pondok masuk ISA pada tahun saya mula masuk PAS (1967) ketika mana Umno mengamuk memberkas tok guru-tok guru pondok dimasukkan dalam ISA. Ini sudah kacau sebab itulah ulama' Umno pada masa itu buat parti PAS. Tetapi lima tahun selepas itu ulama melihat kepada penyelewengan Umno sekular daripada Islam maka mereka (ulama) berpecah daripada Umno lalu menubuhkan Parti Islam.

Harakah : Isu kerajaan perpaduan ini seperti isu 'One Malaysia' apabila perwakilan dan pemerhati masih lagi kurang jelas dengan definisinya. Ada macam-macam persepsi dan definisi. Ini cukup mengelirukan. Boleh Tok Guru jelaskan?

TG Nik Aziz : Hubungan dan masalah berbincang ini memang Islam pun benarkan, dan Kerajaan Persekutuan pun dibenarkan. Tetapi buat hubungan dengan Umno, saya tidak boleh terima kerana buat hubungan dengan Umno lain, bekerjsama dengan kerajaan federal lain. Sekarang, dalam keadaan Presiden Umno sebut One Malaysia, masih lagi Kelantan diarahkan oleh Kerajaan Pusat supaya pegawai pertanian pusat jangan kerjasama dengan kerajaan negeri Kelantan. Hal ini memang ada, dan direkod dalam minit mesyuarat kami. Pihak kementerian mengarahkan pegawainya di Kelantan di bawah JPP supaya jangan bekerjasama dengan Kerajaan Kelantan dalam bahagian pertanian. Itu berlaku semasa One Malaysia diisytiharkan. Apa erti One Malaysia? Serupa sahaja. Ia tidak lebih daripada sekadar slogan semata-mata.

source: detikdaily.com

Read here.

cheers.

No comments: