08 October 2007

Video Lingam dan persepsi seorang bekas hakim.....

Bagaimanakah persepsi masyarakat terhadap pita video Lingam ini? Rata-rata orang yang saya tanya sedar tentang wujudnya video ini tetapi masih blur tentang ceritanya dan mempersoalkan kenapa gomen tubuhkan panel penyiasat,why not a royal commission?

Apa yang jelas scandal sebegini besar, gomen tidak sepatutnya tutup dengan laporan sebuah panel yang tak berkuasa.

Mingguan Malaysia(MM),7 Oct.2007,telah menemuramah seorang bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Shaik Daud Md.Ismail dan cuba kita lihat apa komen Datuk Shaik Daud Md.Ismail berhubung dengan pita video Lingam ini;

MM: Baru-baru ini kita juga dikejutkan dengan isu klip video perbualan dua pihak berkaitan pelantikan hakim, apa yang dapat Datuk simpulkan?

SHAIK DAUD: Mula-mula saya terkejut juga, tidak sangka ini boleh terjadi. Dalam institusi kehakiman, perkara ini serius. Nampak cara pelantikan itu terancam. Banyak orang sekarang berfikir kalau perkara begini boleh berlaku, bagaimana dengan keputusan-keputusan yang telah diberikan? Boleh diterima atau tidak? Kesannya sangat besar, bukan sahaja hakim itu yang dicemar, keputusan yang dia beri selama ini sejak tahun 2002 juga tercemar. Kalau hendak membuat semakan kes, ini akan mendatangkan masalah. Saya sudah mula mendengar ada orang mempertikaikannya walaupun sehingga kini kita belum dapat memastikan kesahihannya lagi.

MM: Isunya sekarang, perbicaraan terus berjalan di mahkamah. Dalam soal ini bagaimana kita mahu meyakinkan kesahihan keputusan itu sendiri?

SHAIK DAUD: Jika berlaku begitu memang sukar untuk kita mengesahkan keputusan itu. Walaupun keputusan itu dibuat dengan baik berdasarkan merit, orang masih tetap tidak percaya. Sekarang mungkin mereka ke mahkamah hanya disebabkan terpaksa pergi. Kalau keputusan itu kita tidak boleh terima, di mana integriti mahkamah dan hakim yang membicarakan kes itu? Saya tidak mengatakan semua hakim begitu. Ada hakim yang baik, seratus peratus mengikut prinsip keadilan. Tetapi kerana segelintir, seluruh sistem kehakiman menerima kesannya.

MM: Penubuhan sebuah panel khas oleh kerajaan, mungkin dapat mengurangkan persepsi itu tadi?


SHAIK DAUD: Saya fikir banyak orang ragu dengan panel ini. Mereka mengharapkan Suruhanjaya Diraja, kerana ada undang-undang di belakangnya. Orang yang dilantik mempunyai kuasa tertentu seperti memanggil saksi. Jika saksi tidak datang boleh diambil tindakan dan sebagainya. Panel begini tiada kuasa, pengerusi sendiri kata, kami tidak boleh buat ini, itu, jadi apa guna panel?

MM. Bagi Datuk, penubuhan panel ini tiada makna?

SHAIK DAUD: Kalau hanya untuk menentukan kesahihan, lebih baik serahkan sahaja kes ini kepada pihak polis atau Badan Pencegah Rasuah (BPR).

MM. Isu ini akan menjadi lebih rumit?

SHAIK DAUD: Memang rumit. Kalau daripada mula kita ada Suruhanjaya Diraja, kebenarannya akan keluar. Contoh yang baik, semasa kes ‘mata lebam’ (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, mulanya tiada sesiapa mahu bercakap. Pegawai polis yang nampak tindakan Ketua Polis Negara pun tidak berani. Tetapi bila Suruhanjaya Diraja ditubuhkan, mereka tampil dan memberikan bukti-buktinya. Maknanya, selain panel khas, jika kita mempunyai Suruhanjaya Diraja, ini adalah lebih baik.

MM. Adakah badan kehakiman kita telah tercemar?

SHAIK DAUD: Kalau kesahihan klip video ini ditentukan, memang tercemar.

MM. Persepsi yang wujud sekarang?

SHAIK DAUD: Sudah tercemar dari pandangan rakyat biasa. Baru-baru ini saya pergi sembahyang tarawih ada orang yang bertanya kepada saya, ‘‘Awak dilantik oleh siapa?”

MM. Bila ditanya begini apa perasaan Datuk?

SHAIK DAUD: Saya malu. Walaupun bergurau, tetapi persepsi itu telah ada. Mereka ingat semua hakim begitu. Ini satu persepsi yang sangat buruk kepada institusi kehakiman terutama bagi Mahkamah Tinggi, Persekutuan dan Rayuan. Majistret tidak terlibat kerana mereka dilantik bukan oleh seseorang tetapi suruhanjaya tetapi pelantikan hakim oleh Ketua Hakim Negara.

Apa lagi yang gomen mau......

cheers.

No comments: