19 February 2012

Seluruh Malaysia ingin saksi debat Najib vs Anwar...

Meskipun dianggap sedikit keluar tajuk, namun kesemuanya teruja dengan debat antara Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng dengan Presiden MCA Chua Soi Lek.  Dari pengulas, pengacara rancangan, sehingga hadirin yang ditemubual, kesemuanya menyatakan hasrat yang sama, yang turut diungkapkan oleh Lim Guan Eng sebermulanya debat pada petang ini, "Seluruh rakyat Malaysia ingin menyaksikan debat antara Najib dengan Anwar!"


Perbahasan dua pemimpin tertinggi dari DAP dan MCA ini diadakan dalam conference bertemakan "Kaum Cina Malaysia di persimpangan politik", dengan tajuk debat "Apakah Sistem Dua Parti akan menjadi Sistem Perkauman untuk dua kaum?", pada jam 5 petang di Hotel Berjaya Times Square.  Perdebatan anjuran bersama Institut Kajian Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) dengan badan pemikir MCA, INSAP ini berlangsung untuk sejam, merangkumi sesi soal-jawab dari bawah pentas, dipengerusikan oleh Tang Ah Chai, Ketua Eksekutif Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KL-SCAH), disiarkan secara langsung oleh ASTRO.


Chua Soi Lek bermula dengan mengakui kebaikan "sistem dua parti" di negara demokrasi, namun menyerang DAP sebagai parti yang menabur fitnah dan mengamalkan politik dendam untuk merampas kuasa.  Chua mendakwa DAP sekarang sudah tidak sama dengan DAP yang lalu, kerana bersekutu dengan PKR dan PAS - satu gandingan politik yang akan didominasi PAS pada akhirnya.  Chua mengulangi serangannya, bahawa PAS akan menubuhkan Negara Islam dan melaksanakan Hukum Hudud di Malaysia, dan ia gagal dihalang oleh DAP, yang disifatkan  olehnya sebagai "eunuch" (pegawai yang dimandulkan) politik.

Chua (gambar kanan) menyindir DAP sebagai parti yang bijak menyolek imej dirinya, memberi contoh bagaimana parti yang mendakwa dirinya berbilang kaum itu selama ini hanya berani bertanding di kawasan majoriti Cina.  Malah, Chua sekali lagi menyindir bahawa DAP tidak berani bertanding untuk mencabar UMNO.

Pakatan bersedia diperalatkan Rakyat

Lim yang berucap kemudiannya, mampu menjawab beberapa soalan, termasuk menyanggah tuduhan dengan mengemukakan hujah UMNO yang menyerang bahawa PAS dan PKR diperalatkan DAP.  Malah Lim menambah, parti komponen Pakatan Rakyat bukan saling memperalatkan, tetapi hanya bersedia diperalatkan oleh rakyat.

Sebaliknya, Lim (gambar kiri) berkata sistem perkauman wujud dalam Barisan Nasional sendiri, dengan UMNO untuk Melayu, MCA untuk Cina dan MIC untuk India.  Lim juga memetik kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang mendakwa dirinya mendahulukan identitinya sebagai orang Melayu lebih daripada sebagai orang Malaysia, untuk menunjukkan sistem perkauman dalam BN.  Malah, beliau mencabar pemimpin UMNO untuk mencontohi keberanian Anwar Ibrahim, yang melaungkan "Ketuanan Rakyat", menggantikan "Ketuanan Melayu", bukan sahaja di depan bukan Melayu, tetapi di depan masyarakat Melayu sendiri.


Malah Lim menekankan sekurang-kurangnya 40% Melayu menyokong parti komponen PR dalam PRU 12, yang menyebabkan beliau mampu diangkat sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Chua-Lim bersilat lidah


Perdebatan semakin menyimpang dari tajuk, apabila memasuki pusingan seterusnya.  Beberapa contoh dipetik oleh Chua, mahupun hadirin di bawah pentas, antaranya isu pengambilan komisen di Kedah yang didedahkan baru-baru ini, malah bantahan Pemuda PAS ketika Najib mengumumkan untuk memansuhkan kuota bumiputera - untuk menunjukkan PAS masih mengamalkan politik rasuah dan perkauman.  Malah, Lim diserang dengan isu tender "kot" yang melibatkan Nga Kor Ming (bekas EXCO Pakatan Rakyat Perak), dan ketidaksampaian kerajaan negeri Pulau Pinang untuk melaksanakan manifesto pilihan rayanya.

Lim apabila sampai gilirannya, menyerang dengan mendakwa bekas Presiden MCA yang terpalit dengan skandal-skandal, termasuk skandal koperasi pada tahun 1980-an, hingga PKFZ pada beberapa tahun kebelakangan ini.  Malah beliau mempersoalkan sama ada Chua menerima keadaan di mana tiada pimpinan UMNO didakwa dalam kes PKFZ?


Chua tidak menyerah begitu sahaja, mendakwa MCA yang berumur lebih 60 tahun, semestinya melakukan kesilapan, sementara kebaikan yang juga dilakukan pada masa yang sama.  Namun, Pakatan Rakyat yang hanya berumur 3.5 tahun, telah menunjukkan rekod yang tercemar, menurutnya. Malah, Chua mendakwa MCA yakin dengan sistem penghakiman untuk menegakkan keadilan, berbeza dengan mereka yang mengerah demonstrasi apabila dibicarakan di mahkamah.


Ketika menggulung perdebatan, Lim lebih untuk mempromosi dasar Pakatan Rakyat, mengambil kesempatan untuk menyeru agar masyarakat Cina menyokong PR.  Lim tidak menjawab isu Negara Islam, cuma membalas dengan "PAS tidak pernah membunuh orang Cina", tanpa sebut nama Teoh Beng Hock.

Bagaimanapun, Chua mengasak Lim untuk mengemukakan satu dasar ekonomi - bagaimana untuk mengeluarkan rakyat dari tersepit dengan pendapatan rendah?  Chua menganggap Lim masih kekal dengan perangainya sebagai kaki demo, dan hanya mengubal dasar populis ketika menerajui tampuk kerajaan.



Debat itu dihadiri oleh kira-kira 1,000 orang dalam dewan, terdiri daripada penyokong MCA, DAP, orang awam dan pengamal media, dengan kelebihan peluang soal diberikan kepada penyokong MCA - sehingga diprotes penyokong DAP.  Pengerusi debat ini, Tang Ah Chai bagaimanapun memuji prestasi kedua-dua Lim dan Chua, dan berharap masyarakat ini memiliki keberanian untuk bersuara, dan kelapangan dada untuk mendengar pandangan yang berbeza. - Lim Hong Siang, Merdeka Review


Debat Guan Eng - Soi Lek - Sekali Lagi Orang Cina Mendahului Melayu

Saya
tidak berkesempatan mengikuti perdebatan di antara Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dengan Presidean MCA Chua Soi Lek yang berlangsung di Hotel Berjaya Kuala Lumpur semalam dan disiarkan secara langsung oleh saluran tv berbayar yang kadang-kadang siaranya terganggu.. berbelang-belang macam ikan-ikan dalam aquarium bila hujan itu, iaini Astro.

Malam semalam saya hanya membaca ulasan dan laporan menerusi blog dan ada komen-komen yang dihantar oleh Fb ke dalam dinding saya. Beberapa orang penganalisa telah membuat kesimpulan debat itu tidak mencecah realiti sebenar kerana ia bukan menyentuh atau mendalami perkara pokok sebaliknya kedua pendebat lebih hendak menunjuk kebiasaan masing-masing.

Chua Soi Lek cuba menunjukkan dia sebenarnya jaguh kepada orang Cina dengan cuba merendahkan keupayaan Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan menganggap janji DAP bersama Pakatan Rakyat hanya janji kosong. Mesej Soi Lek bahawa Guan Eng menjadi alat kepada Melayu.

Lim Guan Eng pula menempelak Soi Lek sebagai pemimpin Cina (MCA yang sanggup bersekongkol dengan pemerintahan UBN yang korupsi. Yang cuba digambarkan Guan Eng bahawa MCA berjuang untuk kepentingan puak semata-mata.

Dalam dicelah lain Guan Eng menyatakan kepada Soi Lek mengenai perbezaan tarbiyah Pas dan Umno apabila Soi Lek cuba mempersendakan hubungan dan tindakan DAP mengadakan hubungan dengan Pas yang dianggap Soi Lek Pas hendak membangunkan negara Islam.

Seorang pemerhati politik Melayu pula mengulas tentang debat itu sebagai tidak menarik kerana kelonggaran formatnya menyebabkan debat itu tidak berbeza dengan ceramah saja. Seorang lagi penganalis politik Melayu pula dipetik menyifatkan debat itu sebagai forum budak-budak sekolah.

Nampaknya penganalis itu hanya mampu membuat analisa mengenai kulit dan event gitu sahaja tetapi tidak cuba menceduk apa yang perlu dipelajari umum di sebalik peristiwa itu. Apakah makrifat atau rupa diri sebenar tujuan debat itu di adakan. Sebenarnya bacaan lebih jauh terhadap majlis itu perlu diselongkari agar kita tidak ketinggalan LRT.
Tidak mengapa kalau debat itu tidak tersusun atau pun mencapai tujuannya? Dari konteks orang Melayu apakah tujuan yang mahu ditimba dari debat itu? Usah kita bertanya keuntungan atau erti yang hendak diterjemahkan kepada orang Cina dengan berlangsungnya debat itu?

Kepada saya majlis debat itu atas tajuk: Kaum Cina Dipersimpangan: Apakah Sistem Dua Parti Menjadi Sistem Dua Bangsa, yang dipengerusikan Dr Michael Yeoh dari Institiut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asia) telah mencatatkan rekod tersendiri. Kesedian dua idola kontemporari Cina itu menyerlahkan sekali lagi orang Cina mendahului orang Melayu di Tanah Malaya ini dalam aspek ilmu siasah.

Tindakan yang mereka persetujuan itu menunjukkan keterbukaan dan kesediaan mereka berdepan secara nyata di muka umum. Mereka menjawab tuduhan dan dakwaan masing-masing secara bersemukakan bukannya seperti politik Pandir dan Lebai Malang orang Melayu yang suka bersikap melontar batu sembunyi tangan dan menabur fitnah di serata jerung ataupunb mengedar vcd blue ke rumah-rumah termasuk rumah Tok Imam.

Juteru stail politik mereka ambil itu menunjukkan standard politik orang Cina yang jauh lebih maju dan rasional dari politik orang Melayu yang masih berpaksi dan bersendikan kepada politik adu domba, ugutan, fitnah ataupun dengan mengambil sikap musang berbuluh ayam, masuk reban makan telor kemudian keluar membawa najis.

Makanya langkah Guan Eng dan Soi Lek itu harus dipuji dan dipelajari oleh politician Melayu seluruhnya.

Dalam hemat saya baik Guan Eng maupun Soi Lek mengapa mereka sedia berdebat itu ialah kerana ingin mempamirkan kepada rakyat Malaysia yang orang Cina lebih berani dan sproting dalam menyelesaikan isu-isu kepentingan bersama. Kelabaan yang mereka dapat adalah untuk kaum Cina kerseluruhanya bila mana dunia akan melihat bahawa orang Cina jauh lebih ke depan di tanah Malaya ini walaupun aslanya mereka adalah pendatang. Itu yang mereka hendak pamirkan menerusi siaran langsung itu.

Mungkin juga yang ingin diterjemahkan bahawa orang Cina mempunyai daya dan ilmu kepimpinan tinggi. Mempunyai intergriti dan leadhsip yang ampuh untuk dinilai oleh kaum mereka. Dalam zaman terbuka ini sikap dan pendekataan itulah yang harus dipraktikan dan bukannya berpolitik secara jumud atau berpandukan kepada 'kin'.

Politik dan pendekatan mereka tidak seperti Melayu yang masih takut dan gerun sesama sendiri tidak menentu. Sikap kolot Melayu ini masih menebal dan terus diwarisi walaupun ia ternyata satu sifat yang negatif. Sebab itu apabila orang Melayu Pas atau PKR ingin memasuki ke sesuatu kawasan yang tebal dengan 'keUmnoaan' maka mereka akan dihalang dan disekat. Atau pun ceramah mereka akan diganggu.

Begitu juga dengan 'pesta-pesta dayak' ala-ala politik tidak baligh seperti berdemonstrasi di perkarangan masjid sambil menaikan spanduk mengecam sesama Melayu menjelaskan kebundakan orang Melayu. Sikap dan tindakan samseng itu menunjukkan siasah orang Melayu belum sihat sepenuhnya.

Semalam semasa menghadiri wacana politik di ibu negara anjuran Kumpulan Aktivis Media Indipenden (Kami) ada seorang wartawan Cina membuat definasi mengenai sikap dan minda politik Cina dan Melayu yang jauh berbeza. Menurut beliau minda politik Cina lebih membangun (responsif) berbanding dengan minda politik Melayu yang pasit (lesu senyap).

Sebagai contoh katanya untuk mengepen orang Cina supaya menolak UBN bukan payah sangat ia cukup setakat menyebut perkataan Teo Beng Hock --- iaitu pegawai Exco Selangor yang ditemui mati di pejabat SPRM. Katanya dengan mengungkitkan peristiwa itu saja orang Cina akan menolak UBN.

Berbeza dengan minda orang Melayu. Walaupun diceritakan mengenai koruspi dalam projek lembu gemuk (NFC) mereka buat lembu kenyan tidak mempedulikan dan akan mudah melupai sesuatu tragedi yang menimpa diri mereka. Penjelasan wartawan berkenaan bagi saya mencabar air muka orang Melayu termasuk saya.

Mengenai debat Guan Eng dan Soi Lek itu orang Melayu harus merasa hina diri dan malu. Mereka secara tidak langsung terbiyah politik atau pun bagaimana hendak tambah nilai diri oleh orang Cina dilakukan secara tidak sengaja. Kesediaan Soi Lek untuk berdebat dengan Guan Eng itu juga semacam mencabar atau sengaja untuk memberi malu kepada Najib Razak yang membisu atas cabaran Anwar Ibrahim untuk berdebat kandati bagi mengemas kilas kain masing-masing di hadapan ramai.

Kesimpulan dari saya perdebatan kedua tokoh Cina itu di samping mereka hendak menunjukkan ego masing-masing tetapi dari sisi lain ia mahu mengejek akan kenaifan orang Melayu dalam politik.

Justeru kalau apa yang saya tafsrikan benar maka Najib tidak perlu berlengah, nah sahutlah cabaran Anwar untuk berdebat. Perdebatan itu sama dengan matlamat Guan Eng dan Soi Lek bukan untuk mencari siapa yang menang dan mengalahkan siapa tetapi tujuannya hendak menunjukkan bahawa orang Melayu juga ada standard dan quality hidup sama dengan orang Cina.

Manakala kalau tujuan berdebat nanti untuk mencari siapa yang menang dan untuk mengalahkan di antara satu sama lain maka jelas piwaian yang hendak dicapai untuk orang Melayu dengan debat itu gagal dan tidak membawa apa-apa makna untuk Melayu.

Saya cadangkan debat demi kehormatan Melayu itu boleh diadakan di Dewan Merdeka PWTC disiarkan oleh saluran tv kerajaan manakala moderatornya ialah Prof DiRaja Ungku Aziz.
- Mohd.Sayuti Omar,msomelayu.blogspot.com

cheers.

No comments: