21 November 2011

Bubar DUN Selangor - Noh Omar menjadi tak keruan...

Nampaknya pengumuman Kerajaan Negeri Selangor untuk mengadakan pilihan raya selepas bulan Jun pada tahun 2012 yakni setelah empat tahun memerintah, menggusarkan Umno BN.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin(kanan) berkata, ramai yang melenting dan berbagai tuduhan pula dilemparkan.

Katanya, kerajaan negeri melihat tiada sebab pilihan raya awal diadakan kerana mandat yang diberikan rakyat kepada kerajaan negeri sekarang hanya akan tamat selepas Mac 2013.

“Alasan yang diberikan oleh Menteri Besar amat jelas bahawa kita tidak mahu mencontohi amalan Umno BN pada 2008 bila mana pilihan raya diadakan pada Mac 2008 semua peruntukan Adun Umno BN pada tahun tersebut telah habis digunakan walaupun bajet baharu sahaja dibentangkan pada November tahun sebelumnya,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Perkara itu, ujarnya didedahkan Menteri Besar di dalam sidang Dun baru-baru ini dan tidak seorangpun Adun BN yang mampu menjawabnya.

Menurutnya, Menteri Besar juga menegaskan kerajaan negeri mahu memastikan peruntukan dalam Belanjawan 2012 benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan akan datang.

Seperti dijangka, kata beliau Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar turut mahu mengambil bahagian di dalam isu itu dengan mempertikai keputusan tersebut dan menuduh Menteri Besar menunjuk dan gila kuasa; takut menghadapi pilihan raya.

Baginya, sejak isu penyalahgunaan dana untuk projek menternak lembu dibongkar, Noh menjadi tidak keruan.

Katanya, jawapan-jawapan yang diberikan oleh beliau langsung tidak menunjukkan pemikiran seorang menteri.

Tambahnya lagi, Noh tiada kredibiliti untuk mempertikaikan keputusan Kerajaan Negeri Selangor itu.

“Selaku menteri kabinet, beliau telah gagal melaksanakan tugas malah terlalu banyak isu kontroversi yang gagal ditanganinya.

“Isu lembu NFC misalnya, sebagai anak syarikat yang diletak di bawah kementeriannya, Noh bertanggungjawab untuk menjelaskan bagaimana geran RM250 juta dibelanjakan termasuk untuk membeli kondomonium,” katanya lagi.

Selain gagal, ujarnya Noh juga cetek ilmu dalam pengurusan kewangan.

Beliau menambah, Noh nampaknya begitu ghairah untuk menonjol di mata Perdana Menteri serta cuba untuk menenggelamkan peranan Datuk Satim Diman selaku Ketua Pembangkang, apatah lagi Ketua Pembangkang itu sendiri turut bergelumang dengan skandal.

Menurutnya, dengan tidak semena-mena pula Noh turut menuduh kerajaan negeri tidak mahu bekerja sama dengan Pusat, berpolitik dalam isu pertanian.

Noh, ujar beliau sepatutnya menjadi orang yang terakhir untuk memberi pandangan jangan berpolitik dalam isu rakyat.

source:harakahdaily

cheers.

No comments: