18 June 2008

Keluar BN : Pengumuman penting hari ini.........

"SAYA tiada diberitahu apa-apa mengenainya." Demikian tegas Pat Lah di Kota Kinabalu, Sabah semalam (Selasa). Bagaimanapun mStar Online difahamkan ahli-ahli Parlimen dan parti mereka wakili dijangka akan membuat pengumuman hari ini. Parti itu dipercayai dari Sabah. Pagi ini Kabinet akan mengadakan mesyuarat mingguannya. Beberapa pemimpin BN dan parti komponen yang dihubungi juga menafikan laporan sedemikian.

Dalam pada itu ketika diminta mengulas lanjut, jelas Pat Lah, beliau tidak tahu mengenai sebarang langkah sebuah parti komponen BN atau anggota-anggota Parlimen meninggalkan BN dan membentuk sebuah gabungan bebas. Ketika bercakap kepada pemberita di Kota Kinabalu lapor Bernama, Pat Lah yang juga Pengerusi BN diminta mengulas mengenai laporan baru-baru ini yang menyatakan sebuah parti BN sedang menimbang untuk keluar dari gabungan itu.

Pat Lah tiba di Sabah untuk merasmikan majlis penutupan Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif Antarabangsa Kedua 2008. Semalam, KM Sabah Musa Aman berkata, tidak ada sebarang petunjuk sehingga ini yang sebuah parti komponen BN negeri akan meninggalkan gabungan itu dan beliau menyifatkannya hanya spekulasi. Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Raymond Tan semalam turut menafikan yang partinya akan meninggalkan BN. Beliau berkata parti itu tidak ada membincangkan perkara itu dan memberi jaminan SAPP akan kekal sebagai parti komponen BN.

Pada Sabtu lalu, Tengku Razaleigh Hamzah mendedahkan bahawa akan ada sebuah parti komponen BN akan keluar menjelang hujung bulan ini.

Ia merupakan kunjungan ketiga Pat Lah ke Sabah sejak pilihan raya umum lalu. Beliau berada di negeri dua minggu lalu. Desas-desus melompat parti yang ditimbulkan semula oleh Sdr.Anwar.Tambah Anwar, "pokoknya, kita semakin hampir ke sana. Kelmarin di Pulau Pinang telah saya tegaskan, beberapa teman dari MCA bakal beralih arah." Anwar telah berulang kali menyatakan bahawa Pakatan Rakyat akan menubuhkan kerajaan menjelang 16 September. Ia mempunyai 82 kerusi di Parlimen dan memerlukan 30 wakil rakyat yang sanggup melompat parti. Sehubungan itu, beliau juga menyarankan mana-mana wakil rakyat sama ada anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) ataupun Dewan Rakyat, jika ingin menyertai Pakatan Rakyat harus melepaskan kedudukan mereka terlebih dahulu.

"Saya menganggap bahawa ia (tindakan melompat parti) tidak salah dari segi undang-undang, tetapi jika wang ringgit dan janji digunakan untuk melompat parti, maka ia salah dari segi moral dan amalan demokrasi.

"Mereka yang terlibat ini harus mengembalikan semula mandat yang telah diperoleh (ketika pilihan raya umum ke-12) kepada pengundi dan harus meletakkan jawatan... kemudian bertanding semula jika merasakan boleh menang dan mahu bertanding lagi," kata beliau sambil mengakui kini tiada peruntukan sedemikian.

Undang-undang semasa pilihan raya tidak membenarkan seseorang berhenti daripada menjadi wakil rakyat dan bertanding semula. Jelas beliau, perlu ada pindaan undang-undang bagi membolehkan peruntukan baru digubal bagi menghalang mereka yang menang atas tiket parti lain tetapi kemudian menyertai sebuah parti lain.

Perpindahan besar-besaran wakil rakyat mengejutkan negara berlaku pada 1994 selepas pilihan raya umum negeri Sabah sehingga membawa kepada kejatuhan Parti Bersatu Sabah (PBS). Desas-desus bahawa ada Ahli Parlimen BN akan menyertai kendengaran sejak pilihan raya umum 8 Mac lalu, dengan kebanyakannya membabitkan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.
Kelmarin, di Pulau Pinang, Anwar menyebut bahawa beberapa Ahli Parlimen MCA pula akan menyertai Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin pula mencabar Anwar "jika pada 17 September kerajaan BN masih lagi memerintah dan mandat rakyat masih terpelihara, beliau bertindak meletakkan jawatan sebagai Penasihat PKR kerana gagal mengotakan janji kepada penyokongnya."

"Jika beliau gagal, bukan hanya beliau harus letak jawatan, tetapi apa sahaja kredibilitinya dimata rakyat akan hancur begitu sahaja," kata beliau dalam blognya.

---------------------------

BERITA TERKINI

Mahkamah putus kerusi DUN Sanglang dikosongkan
oleh Adha Ghazali

KANGAR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memutuskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum Mac lalu, dikosongkan selepas mahkamah menerima permohonan petisyen yang dikemukakan bekas calon pilihan raya Pas bagi kerusi berkenaan. Keputusan itu bermakna pilihan raya kecil perlu diadakan untuk memilih wakil rakyat baru kawasan DUN berkenaan.

Hakim Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani ketika membuat keputusan itu bagaimanapun menolak permohonan bekas calon Pas yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis, Hashim Jasin supaya mengisytiharkan beliau sebagai pemenang kerusi kawasan berkenaan. Zainal Adzam berkata, mahkamah tiada hak untuk mengisytiharkan Hashim sebagai pemenang kerusi DUN itu kerana Seksyen 35(c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memberi bidang kuasa kepada mahkamah untuk berbuat demikian sudah dimansuhkan pada 2003. Mahkamah bagaimanapun meyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menentukan bila pilihan raya kecil akan diadakan.

Sebelum ini, ADUN Sanglang, Abdullah Hassan, dari BN memohon supaya mahkamah memerintahkan pilihan raya semula bagi menyelesaikan pertikaian itu manakala Hashim pula mahu beliau diisytiharkan menang.

Hashim diwakili peguam Mohamad Ariff Yusof mengemukakan petisyen pilihan raya mencabar keputusan pilihan raya DUN berkenaan yang diadakan pada 8 Mac lalu dengan asas berlaku kesilapan dalam proses pengiraan undi. Hashim tewas kepada Abdullah dengan perbezaan 149 undi. Abdullah diwakili peguam K Jegathesan.

-------------------------

Usul tidak percaya terhadap Pat Lah.

Ahli Parlimen Parti Progresif Sabah (SAPP) - salah sebuah parti komponen BN di negeri itu - akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Badawi apabila Dewan Rakyat bersidang Isnin ini. Ini merupakan kali pertama dalam sejarah negara, usul tidak percaya akan dikemukakan terhadap perdana menteri.

"Sewaku sidang Dewan Rakyat mulai Isnin ini, 23 Jun, ahli-ahli Parlimen kita akan menyokong undi tidak percaya kepada PM.

"Sama ada usul itu akan dikemukakan oleh ahli Parlimen kita atau ahli Parlimen lain, akan diputuskan bila tiba masanya," kata satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

SAPP mempunyai dua ahli Parlimen - Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawai) dan Datuk Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) - dan empat ahli dewan undangan negeri. Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee berkata parti itu tidak akan keluar pada masa ini dari BN yang dipimpin oleh Abdullah, tetapi statusnya akan disemak pada hujung minggu ini. Beliau mengkritik rekod BN di Sabah, dengan berkata negeri itu dikenakan undang-undang yang tidak adil dan cukai yang keterlaluan.

"Itulah sebabnya kita perlu membuat segera pengisytiharan tidak percaya kepada PM dan kerajaan, untuk memberitahu kerajaan BN bahawa kita tidak boleh lagi bertolak ansur dengan sikap mereka yang tidak sensitif terhadap isu-isu yang amat serius di Sabah," katanya dalam satu sidang akhbar di ibupejabat parti itu pada jam 2 petang tadi.

Keputusan Jumaat ini?

Pengumuman hari ini dilihat sebagai satu tindakan pertama oleh parti komponen BN itu untuk meninggalkan BN.

"Hari ini hanyalah langkah pertama. Mungkin tidak ada yang melompat sekarang," kata satu sumber.

Sementara itu, tinjauan pendapat dalam blog SAPP juga menunjukkan sikap di peringkat akar umbi mengenai perkara tersebut. Tinjauan itu bertanya kepada orang ramai sama ada parti itu perlu kekal dalam BN, meninggalkan BN tetapi menjadi parti bebas, atau menyertai Pakatan Rakyat. Daripada 2,052 orang yang melayari blog itu sehingga tengahari tadi, seramai 85 peratus atau 1,749 orang, mahu SAPP menyertai Pakatan, 242 atau 11 peratus (tinggalkan BN dan jadi bebas) . Hanya 2 peratus (61) mahu SAPP kekal dalam BN.

cheers.

No comments: