03 August 2008

Nik Aziz - Tidak mustahil Anwar menang majoriti besar.....

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menolak kemungkinan Anwar Ibrahim meraih majoriti undi yang besar dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh kelak.

Menteri Besar Kelantan itu juga yakin isu negatif yang dikaitkan dengan Anwar tidak akan menjejaskan kredibiliti penasihat PKR itu.

Beliau menegaskan, tiada sesiapa berhak mempertikaikan tindakan Dr. Wan Azizah Wan Ismail kerana ia merupakan hak mutlaknya untuk berbuat demikian.

"Hak dia (Dr. Wan Azizah) untuk lepaskan jawatan (untuk diserahkan kepada Anwar)... kalau saya nak lepaskan jawatan pun hak saya juga dan saya sendiri tidak ada sebab untuk tidak menyokong Anwar nak bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Masjid Tahfiz al-Riyadh di Rantau Panjang. Beliau menyifatkan rakyat kini sudah "akil baligh" (matang).

"Mereka boleh faham dan nilai sesuatu perkara dan bagi saya isu yang dikaitkan dengan Anwar adalah isu jijik yang sepatutnya tidak terlalu diperbesarkan," katanya.

Sementara itu,Naib Presiden PAS, Husam Musa berkata, parti itu akan menggerakkan seluruh jenteranya bagi memastikan kemenangan Anwar selaku calon Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil itu.

"Ini juga masanya untuk kita (PAS) membuktikan kesetiaan terhadap Pakatan Rakyat, apatah lagi dengan pelbagai berita tentang kerjasama PAS dengan Umno yang digembar-gemburkan oleh media sejak kebelakangan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Konvensyen PAS Negeri Sembilan.

Katanya, PAS tidak memandang rendah kemampuan calon Barisan Nasional (BN) walaupun yakin kawasan Parlimen Permatang Pauh merupakan kawasan selamat bagi Anwar.

"Keyakinan untuk Anwar menang pada pilihan raya kecil itu memang ada, namun kita tidak boleh memandang rendah kepada calon BN kerana BN berkemampuan mengerah seluruh jenteranya.

"Oleh itu, kita harus berhati-hati dalam menghadapi situasi tersebut," katanya.

Betulkah Pas Pulau Pinang hendak boikot pilihanraya kecil Permatang Pauh?
Baca di sini.


sumber: GMC


cheers.



No comments: