NONEUsul untuk menggantung keahlian Surendran yang dikemukakan oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri itu diluluskan dengan sokongan 92 MP BN.

"Usul yang dibawa Jabatan Perdana Menteri, bersetuju 92 orang, yang lain tidak mengundi.

"Maka usul yang dibawa Jabatan Perdana Menteri disetujukan," kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Datuk Ronald Kiandee.

Nancy pada awal cuba membentangkan usul itu sejak jam 11.30 lagi tetapi tidak berjaya berbuat demikian ekoran bantahan demi bantahan oleh MP Pakatan Rakyat.

Usul itu dibentangkan BN susulan satu sidang media oleh Surendran di lobi Parlimen kelmarin selepas diusir kerana cuba membentangkan usul tergempar perobohan kuil di Jalan P Ramlee.

Beliau didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Yang Dipertua Dewan sebagai "speaker yang bias (berat sebelah)" dan mengeluarkan "fakta yang tidak benar".

Surendran sewaktu ditemui di luar Dewan Rakyat tidak gentar dengan keputusan itu dan berikrar untuk terus menjalankan tugasnya sebagai anggota Parlimen.

Menurutnya beliau akan terus memperjuangkan isu perobohan kuil itu dari luar dewan.

"Ini bukan memangsakan saya, ini memangsakan rakyat di luar sana.

"Itu adalah motif mereka untuk menghalang kita daripada memperjuangkan perobohan ini," kata Surendran.-malaysiakini