Cadangan seorang perwakilan Umno yang mahu kepimpinan parti itu mengadakan sumpah bai'ah bagi mengelakkan tindakan khianat dan sabotaj oleh ahli sendiri, membuktikan mereka mengakui cara yang digunakan oleh PAS.
Malah, kata ahli parlimen Baling, Datuk Taib Azamuddin Md Taib, Umno yang sebelum ini mengecam amalan PAS mengadakan sumpah bai'ah itu bagi mengelakkan ahlinya lompat parti akhirnya terpaksa meniru cara berkenaan.
"Kalau ini (sumpah bai'ah) lahir daripada hati dan keikhlasan orang Umno, ini menunjukkan apa yang dilakukan PAS selama ini yang dipandang serong oleh Umno telah diakui kebenarannya.
"Usia Umno yang sudah terlalu lama menunjukkan ia sudah jauh ketinggalan. Hakikat sebenarnya ialah apa yang dilakukan oleh Umno itu sebenarnya mengakui pendekatan yang dilakukan oleh PAS.
"Oleh sebab itu, daripada dia meniru (PAS) baik dia menyertai PAS terus," kata beliau dipetik Harakahdaily hari ini.
Pada perbahasan usul agama di Perhimpunan Agung Umno semalam, wakil Terengganu, Komaruldin Omar mencadangkan sumpah bai'ah diadakan.
Bahkan, katanya, bai'ah itu juga bagi menyatakan sokongan kepada kepimpinan berhubung pemilihan calon boleh menang dalam pilihan raya itu.
"Saya cukup yakin, yang bercakap tentang calon, dan yang bercakap sabotaj yang membimbangkan, kita buat sumpah bai'ah supaya tidak ada pengkhianat dalam perjuangan kita ini.
"Kita bersumpah Wallahi, Wabillahi, Watallahi, kita sokong calon pilihan pucuk pimpinan dan tak akan sabotaj parti ini setuju," kata Komaruldin.
Cadangannya lantas disambut oleh perwakilan yang hadir di Dewan Merdeka dengan melaungkan: "Setuju".
Mengulas perkara itu, Taib yang juga bekas imam besar Masjid Negara bagaimanapun berkata, sumpah bai'ah hanya terpakai untuk perkara bertujuan kebaikan dan kebenaran, bukan untuk tujuan kebatilan.
Katanya, Umno sebagai parti yang tidak meletakkan Islam sebagai dasar tidak wajar mengadakan sumpah bai'ah.
"Bai'ah boleh berlaku di atas sesuatu perkara untuk tujuan kebenaran... kalau bai'ah untuk tujuan kebatilan, bai'ah itu menjadi satu kemungkaran dan tidak termasuk dalam erti kata bai'ah yang sebenar.
"Jadi kalau Umno masih tidak meletakkan Islam sebagai dasar, maka bai'ah itu tidak ada gunanya Jadi tak perlulah orang Islam tertipu dan terpedaya dengan keadaan ini," katanya dipetik akhbar rasmi PAS itu lagi.
Menurut Taib, tindakan Umno itu juga menunjukkan parti itu sudah berada dalam keadaan lemah dan terpaksa menggunakan apa sahaja cara untuk dijadikan 'tongkat' bagi meneruskan pemerintahannya.
"Inilah salah satu bukti yang boleh dilihat oleh masyarakat... dari segi spiritnya, politik Umno sudah memang terkapai-kapai... jadi apa sahaja yang dia rasa dia boleh capai untuk jadikan tongkat nak selamatkan parti, dia akan guna.
"Takkanlah masyarakat nak terima orang yang pakai tongkat untuk memerintah" katanya.
source:malaysiakini
cheers.
No comments:
Post a Comment