04 November 2011

Muslihat politik tidak lulus daftar Pakatan...

Pakatan Rakyat mengesyaki terdapat ‘muslihat politik’ apabila Pendaftar Pertubuhan (ROS) enggan meluluskan permohonan pendaftaran mereka untuk menjadi satu parti.

Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke berkata, ROS sengaja tidak mahu meluluskan pendaftaran Pakatan Rakyat kerana takut mereka menjadi satu gaubungan yang kuat dalam pilihan raya umum ke-13.

Mereka (ROS) sengaja tidak mahu mendaftarkan Pakatan Rakyat kerana takut kita akan menjadi satu entiti yang kuat untuk mencabar BN.

"Untuk pilihan raya akan datang, kita tidak boleh letak calon Pakatan tapi letak calon PAS, DAP dan PKR kerana belum berdaftar. Saya lihat ini ada muslihat politik," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution menyelar jawapan Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Osman baru-baru ini bahawa pedaftaran Pakatan Rakyat tidak diluluskan kerana mereka tidak membuat permohonan baru selepas pengerusi Pakatan waktu itu, Datuk Zaid Ibrahim keluar parti.

"Majlis Presiden Pakatan kesal dengan kenyataan tersebut kerana Pakatan telah ambil langkah yang perlu sejurus Datuk Zaid tinggalkan Pakatan.

"Kita lantik pengerusi Pakatan Rakyat yang baru iaitu Ahli Perlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaffar menggantikan Datuk Zaid," katanya yang juga Ahli Parlimen Machang.

Beliau berkata, dalam tempoh dua tahun lalu, mereka sering mengadakan pertemuan dengan pihak ROS untuk mengetahu perkembangan mengenai permohonan tersebut tapi gagal mendapatkan sebarang jawapan.

ROS, katanya masih memberi alasan bahawa permohonan lama Pakatan Rakyat iaitu sewaktu Zaid masih bersama PKR masih belum diluluskan dan Pakatan tidak membuat permohonan baru.

"Mengikut perlembagaan Pakatan Rakyat, sesiapa yang keluar parti, kedudukannya sebagai pengerusi akan terbatal. Jadi tiada masalah dalam hal itu," katanya.

Sehubungan itu katanya, Majlis Presiden Pakatan yang bermesyuarat petang semalam memutuskan untuk membuat keputusan baru sekiranya permohonan mereka masih tergantung.

"Sekarang kita buat keputusan untuk teruskan permohonan tapi kalau tidak ada jawapan juga, kita akan putuskan tindakan baru," katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, Dr, Hatta Ramli pula berkata, tindakan ROS itu menggambarkan kelemahan pegawai-pegawai kerajaan menjalankan tugas.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai, ROS sepatutnya memaklumkan kepada Pakatan sekiranya terdapat kesalahan dalam borang permohonan atau sebagainya.

"Kalau ada sebarang kesilapan dalam permohonan atau perlu maklumat biasanya mereka akan hubungi pemohon tapi tiba-tiba kata tak hantar permohonan baru sedangkan pertukaran individu dalam jawatankuasa penaja adalah perkara biasa.

"Ini memberi gambaran yang tidak baik kepada pegawai kerajaan dan ada orang yang dijadikan mangsa," katanya.

source:harakahdaily



cheers.

No comments:

Post a Comment