29 September 2011

PRU 13: Ikut ahli-ahli nujum....

Ketika arena politik negara semakin dilanda wabak demam pilihan raya yang tidak berapa lama sahaja lagi, bermacam ramalan yang dapat kita dengar dan baca di sana sini.

Ramalan-ramalan politik ini tentunya datang dari ahli-ahli nujum politik negara yang datangnya dari pelbagai medium termasuklah medium internet, media cetak, cofee house hotel yang berbintang-bintang hinggalah ke kedai kopi di bawah pokok.

Walaupun ada juga ahli-ahli nujum politik negara ini hanya menjampi mangkuk ajaib atau bebola kristal mereka di kedai-kedai kopi, tetapi bacaan politik sesetengah mereka ini tidak boleh diperlekeh begitu sahaja kerana bacaan politik mereka ini juga tidak kurang menariknya.

Biar pun ada sesetengah ramalan sedikit merapu, nakal dan bersifat propaganda, tetapi banyak juga yang mampu memberi hujah-hujah dengan baik bersandarkan fakta-fakta yang menarik untuk difikirkan.

Dari mangkuk ajaib dan bebola kristal ahli-ahli nujum yang datang dari pelbagai medium ini, bermacam ramalan dapat dilihat, seperti siapakah calon parti tertentu, siapa tikam belakang siapa, siapa bakal menang dan yang paling popular ketika ini ialah bilakah Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) akan diadakan.

Dalam banyak-banyak tilikan yang meramalkan tarikh sebenar PRU 13 akan diadakan, terdapat beberapa tarikh yang begitu hangat disebut-sebut oleh ahli-ahli nujum politik negara ini.

11 Februari 2012


Minggu lalu, sebuah akhbar harian turut tidak ketinggalan meramalkan tarikh PRU 13 dengan tajuk utama muka hadapannya yang meramal PRU 13 akan diadakan pada 11 Februari 2012. Dalam liputan khas PRU 13 dengan empat muka penuh itu, ianya bolehlah dianggap satu analisa yang menarik dengan pembentangan faktanya yang begitu teliti.

Cuma yang tidak dikaitkan dalam analisa tersebut ialah perbicaraan kes liwat 2 yang sedang dihadapi oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dianggap oleh sesetengah ahli nujum lain sebagai salah satu faktor yang mungkin berada dalam perhitungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Persoalan yang mungkin sesuai untuk diperhitungkan tentunya seperti bilakah perbicaraan kes liwat 2 itu selesai, adakah Anwar akan didapati bersalah, jika mahkamah mendapati beliau bersalah apa pula hukumannya nanti yang sudah tentulah bukan denda ketuk ketampi.

Silap-silap hari bulan, jawapan-jawapan dari persoalan-persoalan itu tadi boleh menyebabkan Anwar hilang kelayakkan untuk bertanding dalam PRU 13 nanti. Apa pun yang pastinya, kes liwat 2 itu memang banyak memberikan kelebihan kepada Najib dalam usaha untuk memadamkan impian Anwar untuk bergelar PM Malaysia.

Malah bukan itu sahaja, sekiranya Anwar hilang kelayakan bertanding gara-gara keputusan mahkamah nanti, kubu kuat Anwar di Permatang Pauh dengan sendirinya menjadi kucar-kacir untuk memilih calon sesuai dalam PRU 13 kelak.

Harus diingat, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail ketika ini masih jauh untuk menghabiskan tempoh ‘edah’ setelah hilang kelayakan untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya di negara ini ekoran tindakan meletakkan jawatan sebagai YB di parlimen yang sama pada 2008.

PAS ramal 11 November 2011

Selain akhbar harian tersebut yang menjangkakan 11 Februari 2012, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut juga memberitahu PAS telah menyasarkan tarikh 11 November 2011 sebagai tarikh pilihan raya diadakan.

Kata beliau, bajet yang bakal dibentangkan pada 7 Oktober nanti merupakan bajet pilihan raya untuk mengambil hati rakyat agar memberikan undi mereka kepada Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, tarikh lain yang juga sedang hangat diperkatakan ialah pada 11 Oktober tahun ini iaitu empat hari selepas pembentangan Bajet 2012.

Namun ramalan 11 Oktober nampaknya hampir tidak menjadi kenyataan apabila hanya tinggal seminggu lebih sahaja lagi dari sekarang sebelum menjelangnya tarikh yang diramalkan itu sedangkan hingga hari ini Parlimen masih belum dibubarkan.
Ditambah pula dengan faktor pembentangan Bajet 2012 pada 7 Oktober nanti dan perbahasan sebelum bajet boleh diluluskan yang pastinya memakan masa yang panjang.

Membubarkan parlimen sebelum undian meluluskan bajet di parlimen dijalankan dan persidangan yang hanya selesai pada awal Disember nanti akan banyak mencetuskan kontroversi dari segi perlembagaan. Seperti kata Profesor Dr Aziz Bari, silap-silap hari bulan Bajet 2012 jadi bajet tidak sah dan terpaksa dibentangkan semula.

Kalau Najib masih bernasib baik, dapatlah sekali lagi beliau membentangkan bajet dan kalau tidak bernasib baik, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau pun pihak yang sekarang ini berada di blok yang bertentangan pula membentangkan Bajet 2012.

Najib sendiri tentulah tidak mahu dilihat sebagai PM paling kurang cerdik apabila membuat keputusan tidak bijak dalam memilih masa paling sesuai untuk membubarkan parlimen untuk mengadakan pilihan raya.

Angka 11

Ramalan-ramalan ahli-ahli nujum politik negara menjadi semakin menarik apabila masing-masing cuba mengaitkan ramalan mereka dengan angka 11 apabila Najib memberitahu DJ sebuah stesyen radio bahawa angka itu begitu dekat dengan dirinya.

Sekiranya Najib sememangnya mempunyai tahap obses yang begitu tinggi dengan angka tersebut, maka bacaan mudah boleh dibuat dengan mengandaikan tarikh 11 November 2011 (11/11/11) sebagai pertaruhannya.

Namun ianya tidaklah semudah itu untuk membaca perhitungan politik dalam fikiran Najib hinggalah ke saat ini.

Sudah tentunya Najib tidak akan meletakkan angka tersebut sebagai antara kriteria utama dalam mencaturkan masa depan politik beliau dan parti yang diterajuinya.

Kalaupun betul Najib memilih tarikh 11 haribulan untuk mengadakan PRU 13, sudah semestinya ada perhitungan lain yang menjadi keutamaan Najib ketika memilih tarikh itu berbanding faktor angka 11 itu sendiri.

Sekali lagi, Najib tentulah tidak mahu dilihat sebagai PM paling kurang cerdik untuk memilih tarikh sesuai untuk membubarkan parlimen bagi mengadakan pilihan raya.

Mac 2012 – Tony Pua

Bagi Ketua Publisiti DAP, Tony Pua pula meramalkan PRU 13 bakal diadakan dalam tempoh kurang enam bulan dengan menyasarkan sekitar Mac 2012.

Manakala dalam sembang kedai kopi sedikit masa dahulu, seorang ahli nujum politik negara yang pernah berkhidmat sebagai pengiring khas kepada seorang kenamaan politik di Sarawak pernah memberitahu PRU 13 akan diadakan pada 15 November tahun ini.

Bagaimanapun gambaran dalam mangkuk ajaibnya tidaklah begitu jelas dek riak-riak air di dalamnya dan kerana itu beliau tidak dapat memberi hujah bagi menyokong kenyataannya melainkan memberitahu tarikh itu diperolehi daripada ahli politik yang beliau sendiri iringi itu.

Pada Jun lalu pula, politik negara tiba-tiba menjadi riuh apabila ada ahli nujum politik negara yang meramalkan PRU 13 bakal diadakan pada bulan berikutnya iaitu Julai lalu apabila Umno sibuk mengadakan simulasi pilihan raya.

Namun ramalan tersebut turut tidak menjadi kenyataan apabila tiada apa-apa yang berlaku sehinggalah ke penghujung bulan itu.

Ramalan nakal

Ada juga ramalan yang tampak nakal tetapi mencuit hati apabila ‘menyedarkan hakikat sebenarnya,’ Najib sendiri juga sama seperti ahli-ahli nujum politik negara yang lain, masih terteka-teka bila agaknya isterinya mahukan parlimen dibubarkan.

Ramalan lain yang tidak kurang juga nakalnya apabila meramalkan Datin Seri Rosmah Mansor bakal diturunkan sebagai calon ‘heavy weight’ bagi BN walaupun tidaklah mustahil, untuk melanggar dan melenyek-lenyek Pakatan Rakyat.

Begitulah ‘istimewanya’ negara kita berbanding negara lain apabila rakyatnya khusus bagi pemain-pemain politiknya, berseronok merasai debaran dengan penuh suspen untuk mendapatkan ramalan terbaik daripada ahli-ahli nujum politik negara.

Berbanding di kebanyakkan negara-negara lain, tarikh pilihan raya telah pun diumumkan berbulan-bulan lebih awal sekaligus menghilangkan unsur suspen dan ‘thrill’ seperti mana kita di sini.

source:FMT

cheers.

No comments:

Post a Comment