08 May 2011

Polis Batalkan Ceramah Anwar di Pelabuhan Klang...

Polis berjaya membatalkan ceramah anjuran Pakatan Rakyat, namun gagal menghalang Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dari bertemu rakyat jelata.

Ceramah Muafakat Rakyat Anti Politik Fitnah & Lucah yang berlangsung di Markas PAS Taman Teluk Gadung Indah malam tadi turut 'disertai' lebih seratus anggota Polis dengan 3 buah trak, seolah- olah dalam operasi menangkap pendatang tanpa izin.

Diketuai Ketua Polis Daerah Klang Assistant Commisioner Mohammad Mat Yusop, mereka bertindak menghentikan program ini atas alasan tiada permit polis.

Tindakan polis mematikan sistem audio semasa Timbalan Presiden, Azmin Ali berucap menyebabkan lebih seribu hadirin yang hadir memberontak. Namun Azmin berjaya menenangkan keadaan dan berucap tanpa menggunakan sistem pembesar suara sebelum sekali lagi dihalang Polis.

"Jangan takut, lawan tetap lawan. Lawan kita UMNO bukan pegawai Polis," kata Azmin sebelum dihentikan buat kali ketiga oleh pihak polis beberapa saat kemudian.

Ketibaan Anwar sejurus selepas itu diiringi dengan laungan reformasi oleh penyokong yang hadir. Anwar kemudiannya hanya sempat berucap selama 5 minit sebelum menyuraikan majlis tersebut.

"Saya tidak mahu ada masalah dengan dia (Polis) sebab dia pon terima arahan. Jadi saya nak elak kerana kalau saya berkeras, yang susah ialah rakyat. Tapi ini tak bermakna saya setuju. Sistem ini zalim. Ini jelas. Tak ada sebab. Kita minta tempat, markas PAS semua tak boleh," kata Anwar.

Anwar turut menyeru agar hadirin tidak patah semangat dalam mengubah Malaysia pilihan raya kan datang.

"Sebab itu saya ingin gesa saudara-saudara, jangan sedikitpun terhakis semangat kita untuk lakukan perubahan. Ini negeri kita, kita mahu rakyat dibebaskan. Biar yang atas hina kita tapi lawan tetap lawan," kata Anwar sebelum menyertai hadirin melawat ke sekitar kawasan perumahan itu bertemu orang ramai.





cheers.

No comments:

Post a Comment