26 May 2011

Apakata UMNO keluar BN dulu....

Cabaran Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi(kanan) supaya DAP keluar dari Pakatan Rakyat untuk bertanding pilihan raya atas tiket sendiri telah menjadi bahan ketawa di kalangan umum.

Ketua Penerangan PAS Perak Khalil Idham Lim dalam blognya hari ini menulis bahawa beliau melihat Naib Presiden UMNO itu sudah hilang pertimbangan akal yang waras dan bercakap “merapu” apabila meminta DAP meninggalkan Pakatan untuk menguji kekuatan serta pengaruhnya dalam meraih sokongan rakyat.

“Zahid nampaknya sudah terlalu cerdik, dan saya cadangkan kecerdikannya itu digunakan untuk UMNO, iaitu keluar dari BN kalau dia berani. “Apa lagi kekuatan yang ada pada BN dan UMNO sendiri adalah kekuatan yang sangat rapuh kerana bergantung kepada penyalahgunaan kuasa terhadap kementerian, jabatan dan agensi tertentu,” katanya mengulas kenyataan Zahid.

Zahid membuat kenyataannya untuk mengulas cadangan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng kepada pucuk pimpinan Pakatan Rakyat supaya kesemua negeri Pakatan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri masing-masing jika pilihan raya umum diadakan tahun ini.

Khalil Idham yakin kenyataan Zahid membuktikan BN sudah kehilangan arah dalam usahanya mencari sokongan rakyat.

“Kenapakah jauh sangat Zahid mencabar DAP untuk keluar dari Pakatan dan apa pula istemewanya jadi `anak jantan’ kalau keluar dari Pakatan seperti yang dikatakannya. Hakikat sebenarnya UMNO lah yang sekian lama `pondan’ disebabkan tidak berani keluar dari BN,” tambahnya.

Beberapa blog tempatan serta komentar pembaca mereka juga menyifatkan cabaran Zahid terhadap DAP sebagai satu jenaka, tidak masuk akal dan kurang cerdik, di samping memberi cadangan balas supaya UMNO yang keluar dari BN untuk membuktikan ia “anak jantan”.

Dua hari lalu, Zahid menyatakan DAP merancang meletakkan calon Melayu bertanding di beberapa negeri dalam PRU akan datang, terutamanya bagi bertanding kerusi DUN di Perak, Melaka dan Negeri Sembilan. Ramai juga yang terpinga-pinga dengan kenyataannya kerana memang diketahui umum usaha DAP untuk meletakkan calon-calon yang mewakili semua kaum, termasuk Melayu, yang telah dianggap oleh Zahid seperti satu bentuk konspirasi.

Blogger Aspan Alias yang juga pemerhati politik veteran berpendapat saranan Zahid itu hanya setakat menakut-nakutkan orang Melayu supaya tidak menyokong DAP.
“Kenyataan Zahid itu merupakan kenyataan yang biasa kita dengar di kalangan pemimpin BN yang sudah begitu ‘paranoid’ dengan kemajuan yang dicapai oleh parti-parti pembangkang yang dahulunya di cemuh-cemuh oleh pihak kita sebagai parti yang tidak baik bagi rakyat dan negara,” katanya dalam blognya.

Beliau juga mengingatkan Zahid supaya tidak terlalu ghairah menyerang DAP kerana “jika orang Melayu tidak menyokong UMNO …(dan) …tidak menyokong DAP, mereka akan menyokong PAS dan PKR”.

Aspan menjelaskan ramai orang Melayu berpendapat mereka tidak boleh lagi menyokong UMNO semata-mata untuk menyokong serta tidak sanggup bersabar melihat pimpinan UMNO menyelewengkan wang rakyat. “Sikap menyokong membabi buta sudah berlalu,” tambah beliau.

source:Roketkini.com

Zahid: DAP 'anak jantan' jika keluar Pakatan


"Ingat UMNO ingat RASUAH"

cheers.

No comments:

Post a Comment