Seperkara yang perlu diingat bahawa tsunami politik dalam PRU 2008 yang membolehkan Pakatan Rakyat(PR) mengambilalih kuasa di 5 buah negeri di Semenanjung Malaysia berlaku secara tiba-tiba dan dengan tidak di sangka-sangka. Ramai rakyat akur bahawa UMNO/BN akan kalah tetapi tidaklah seteruk itu.
Perubahan yang berlaku secara mendadak itu adalah kerana rakyat sudah bosan dengan 50 tahun pemerintahan UMNO/BN yang semakin sombong dan kejam. Lantaran itu, rakyat telah membuat keputusan untuk beralih angin kepada pihak pembangkang. Bukan kerana rakyat suka dan inginkan parti pembangkang, tetapi kerana situasi semasa yang banyak membangkitkan kemarahan rakyat terhadap gomen UMNO/BN dan ini menyebabkan rakyat memilih perubahan.
Dalam kebangkitan rakyat itu, Anwar Ibrahim muncul sebagai idola untuk masyarakat berbilang kaum ini bersatu dengan harapan akan wujud satu tampuk pemerintahan yang baru. Namun kemaraan pembangkang ke Putrajaya terhenti beberapa kilometer saja dari pusat pemerintahan tersebut.
Banyak telah berlaku sejak March 2008 hingga sekarang. Masihkah rakyat membenci UMNO/BN? Beberapa pilihanraya kecil yang diadakan menunjukkan bahawa api kemarahan rakyat terhadap gomen UMNO/BN masih belum padam. Tapi, apakah PR hanya perlu berpaut kepada emosi rakyat semata-mata mahu berkuasa?
Umum tahu bahawa siapa saja mahu memerintah di negara ini perlu sokongan orang-orang Melayu dan PR hendaklah berusaha sehabis-habis untuk meraih sokongan itu. UMNO seperti biasa berlagak bahawa mereka adalah pembela masyarakat orang Melayu. Kalau betul cakap UMNO itu kenapakah ramai orang Melayu masih merempat dalam kemiskinan di kampung dan desa? Kenapa ramai lulusan sekolah dan IPT masih berkeliaran tanpa pekerjaan?
Ingat, PR bukanlah sebuah parti tapi hanya satu pakatan yang longgar parti-parti pembangkang yang cuba tidur sekatil tapi mempunyai mimpi berbeza-beza. Sudah tiba masanya,PR ini wujud sebagai satu entiti dengan identitinya sendiri.
Tapi sampai bilakah rakyat yang memberikan mandat kepada PR itu harus menanti? Hanya Sdr. Anwar Ibrahim,Tuan Hj.Hadi Awang dan Sdr.Lim Kit Siang tahu jawapannya.
Apakah PR begitu selesa setakat nak jadi pembangkang semata-mata?
Over to you Pakatan Rakyat...........
Baca di sini.
Berikut diperturunkan tulisan Sdr.Lim Hong Siang,bertajuk "Bolehkah PR bentuk kerajaan tanpa sokongan majoriti Melayu?" untuk renungan bersama...........
Bolehkah Pakatan Rakyat membentuk kerajaan yang halal dan absah (berlegitimasi), seandainya gagal memperolehi sokongan lebih 50% daripada masyarakat Melayu, tetapi sokongan masyarakat kaum lain memberikan bilangan kerusi yang mencukupi di Dewan Rakyat untuk PR memerintah di peringkat pusat?
"PR mungkin terasa serba salah dengan kesahihan kerajaannya seandainya ia memperolehi kurang 50% daripada sokongan masyarakat Melayu, walaupun mendapat mandat lebih 50% daripada seluruh masyarakat Malaysia."
Demikianlah pemerhatian dan persoalanan yang dilontarkan oleh pengkaji politik, Wong Chin Huat selepas kekalahan PR di PRK Bagan Pinang pada 11 Oktober yang lalu. Wong mengemukakan statistik bahawa wujudnya kecenderungan pengaliran undi masyarakat India kepada BN dalam PRK tersebut, yang boleh dijelaskan sama ada Bagan Pinang ialah "kes terasing" atau "menggambarkan trend keseluruhannya (khususnya masyarakat India)".
Seandainya 40% undi Melayu diperolehi...
Perhitungan kasar Wong berdasarkan 165 kerusi parlimen di Semenanjung menunjukkan, seandainya PR memperolehi 40% undi Melayu dan 75% undi bukan Melayu, maka PR akan memperolehi 103 kerusi, dan hanya memerlukan 9 kerusi daripada Sabah dan Sarawak untuk menubuhkan kerajaan persekutuan (dengan 112 daripada 222 kerusi). Seandainya PR memperolehi 50% undi kaum India dan 75% undi kaum Cina, dalam keadaan mengekalkan undi Melayu pada paras 40%, maka PR akan memperolehi 90 kerusi di Semenanjung. Jikalau undi kaum India jatuh kepada 40%, maka PR hanya akan mendapat 80 kerusi, seperti apa yang berlaku pada PRU ke-12.
Pemerhatian Wong terhadap senario politik selepas PRU ke-12, termasuk beberapa PRK seperti Bukit Gantang, Manek Urai yang menyaksikan peralihan sokongan sebahagian masyarakat Melayu kepada BN, menyimpulkan bahawa "mustahil untuk PR memperolehi lebih 50% sokongan Melayu dalam masa terdekat." Maka, Wong mencadangkan agar PR menggariskan matlamat yang lebih realistik, iaitu mengekalkan undi Melayu sekurang-kurangnya pada paras 40%, di samping melonjakkan graf sokongan masyarakat bukan Melayu kepada 75%, seandainya ingin mengambil alih kuasa kerajaan persekutuan pada PRU ke-13.
Untuk Wong, selagi PR terasa serba salah jikalau gagal memperolehi lebih 50% undi daripada masyarakat Melayu, maka UMNO dan lidahnya, Utusan Malaysia akan diberi kesempatan untuk meneruskan serangannya.
Seandainya Pakatan Rakyat meretak...
Logik Wong begini. Seandainya PR terus dihantui bayangannya "untuk mendapat sokongan lebih 50% Melayu", maka parti komponen PR, terutamanya PAS dan PKR dijangka akan beralih kepada hujah mahupun dasar yang menampakkan perkauman dan keagamaannya sekali-kala, sekiranya tidak tahan dengan serangan UMNO dan Utusan Malaysia.
Lantaran itu, PAS dan PKR akan bertelagah dengan DAP yang perlu tampil untuk menyanggah hujah dan dasar tersebut. Apa yang berlaku seterusnya adalah pengundi bandar, kelas menengah akan hilang yakin kepada PR kerana "harapan (yang diberikan PR)" kini diganti dengan persepsi "sering berbalah sesama sendiri". Senario ini berakhir dengan retaknya PR seperti Barisan Alternatif sebelumnya... Untuk mengelakkan ramalan pesimis ini menjadi kenyataan, Wong menganjurkan pandangan bahawa PR perlu yakin bahawa dirinya tetap kerajaan yang absah seandainya mendapat mandat lebih 50% undi daripada masyarakat Malaysia secara keseluruhannya.
Sistem negara yang dikuasai Melayu...
Ketika mengulas pandangan yang diutarakan Wong Chin Huat, Yong Kai Ping (Editor Malaysiakini, edisi bahasa Cina) berkata, "legitimasi sesebuah kerajaan dalam masyarakat Melayu" merupakan "persoalan struktur" yang perlu dihadapi bukan sahaja PR, tetapi mana-mana parti politik yang bercita-cita untuk menerajui pucuk pimpinan kerajaan di negara ini. Yong menjelaskan bahawa setelah berpuluh tahun BN memerintah, sistem negara ini telah diubahsuai kepada satu sistem "negara Melayu", di mana sektor perkhidmatan awam dan pasukan keselamatan, termasuk tentera dan polis telah dikuasai sepenuhnya kaum Melayu.
Justeru itu, Yong berpendapat bahawa PR tidak dapat mengelakkan dirinya ketika berdepan dengan persoalan ini, dan terpaksa mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah ini. Yong menganggap bahawa PR masih belum menemui jalan keluar, ketika berhadapan dengan serangan retorik UMNO bahawa "naiknya PR bermaksud hilangnya kuasa Melayu".
"Sememanganya, PR tidak akan dapat menandingi UMNO ketika membincangkan Melayu. Namun, apakah hujah sebaliknya yang diketengahkan untuk membalas retorik UMNO? Satu hujah yang senang difahami, berkesan untuk memujuk dan mendapat keyakinan masyarakat Melayu...," kata Yong.
Misalnya, "Melayu" dipisahkan kepada Melayu-Bandar, Melayu-Kelas Menengah dan sebagainya, agar kepentingan Melayu ini dapat dihalusi dan dibincangkan secara konkrit, cadang Yong.
Malah, Yong menganggap "politik berbilang kaum" yang dianjurkan PR ini perlu didalami, dan bukan hanya berpuas hati dengan aktiviti seperti rumah terbuka sahaja. Beliau mencadangkan agar pemimpin PR perlu berdialog dengan sektor perkhidmatan awam, pasukan keselamatan, untuk menghapuskan rasa musuh dan syak wasangka yang wujud. Apabila tembok ini dipecahkan, barulah PR boleh tampil dan mendakwa dirinya sebagai pakatan politik yang melambangkan kepentingan semua kelas dalam masyarakat Malaysia, simpul Yong. - Lim Hong Siang
(*Perbincangan ini mengambil tempat di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, pada 13 Oktober 2009, dalam satu forum yang bertajukkan PRK Bagan Pinang.)
source:merdekareview
cheers.
No comments:
Post a Comment