08 October 2008

Perbicaraan Anwar - Kes Pindah Mahkamah Di Tangguh Lagi......

Status permohonan sama ada kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi terus menjadi tanda tanya dengan Mahkamah Sesyen sebentar tadi menyaksikan satu lagi penangguhan berlaku sehingga esok pula. Perkara itu diputuskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen S.M. Komathy Suppiah apabila ketua pasukan peguam Anwar, Sulaiman Abdullah meminta masa sehingga petang ini untuk meneruskan penghujahan beliau. Bagaimanapun hakim tersebut memaklumkan bahawa ia akan didengar pukul 10 pagi esok kerana beliau mempunyai kes lain untuk didengar petang ini.

Sidang hari ini bermula pukul 11.15 pagi tadi. Mahkamah juga dijadual mendengar penghujahan pasukan pendakwaan esok. Malah hakim mengarahkan media agar tidak mendedahkan kandungan tuduhan Anwar terhadap Peguam Negara. Semalam Mahkamah Sesyen menangguhkan sehingga pagi ini untuk mendengar sambungan hujahan terhadap kesahihan sijil pemindahan yang ditandatangani Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail. Semalam pihak pendakwaan memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen menolak bantahan awalnya berhubung kesahihan sijil pemindahan.

Ketua Unit Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden ketika ditanya media berkata, pihak pendakwaan telah mengemukakan surat kepada hakim . Bagaimanapun, Mohamed Yusof berkata, mahkamah belum menetapkan tarikh untuk mendengar permohonan semakan tersebut. Semalam Komathy memutuskan bahawa beliau mempunyai budi bicara untuk mendengar hujahan berhubung bantahan pembelaan yang mempersoalkan kesahihan sijil yang dikemukakan oleh pendakwaan untuk memindahkan kes liwat terhadap Anwar ke Mahkamah Tinggi.

Komathy menolak bantahan awal pendakwaan yang berhujah bahawa mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar bantahan pembelaan berhubung kesahihan sijil pemindahan. Pendakwaan telah berhujah bahawa adalah mandatori bagi Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 418A(3) Kanun Prosedur Jenayah untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi sebaik sahaja sijil pindah dikeluarkan oleh pendakwaan.

Pembelaan telah membantah permohonan pendakwaan yang mahu kes Anwar itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dengan menyatakan sijil pemindahan itu tidak sah kerana ia ditandatangani Peguam Negara yang sedang disiasat oleh Badan Pencengah Rasuah berikutan satu laporan polis yang dibuat oleh Anwar.

Laporan polis itu ialah berhubung dakwaan memalsukan keterangan dalam kejadian "mata hitam" Anwar pada 1998. Anwar, 60, didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 1151, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun. Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

source : Pahang Daily Online

-------------------

Ketika Pak Lah tengah dok pikiaq nak berhenti atau lawan habis2an dengan geng2 UMNO yang mahu Pat Lah berundur, nampaknya pihak pendakwa bersungguh-sungguh mahu kes ini dipindah ke Mahkamah Tinggi di mana proses memanipulasi hakim dan sebagainya boleh berjalan ikut rentak dan nada pihak konspirator.

Harap perkara ini tidak akan berlaku,moga-moga hakim Komathy menggunakan budibicaranya untuk menghalang cubaan pihak pendakwa dan terus mendengar kes tersebut.

Orang yang terdesak akan buat apa saja,asalkan cita-cita mereka tercapai...............

cheers.

No comments:

Post a Comment